Zahid tawar diri jadi calon PM selepas singkir Muhyiddin

Teka-teki nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dinamakan dalam surat akuan diutus UMNO kepada Yang di-Pertuan Agong akhirnya terjawab selepas difahamkan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menawarkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri (PM) baharu.

Sumber dalaman UMNO mendedahkan Zahid membuat tawaran tersebut semasa pertemuan rahsia dengan kem Ahli Parlimen (MP) menyokongnya, ia juga selari dengan pengakuan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan yang Zahid sudah bersumpah tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

Malah, susulan tawaran sebagai Perdana Menteri itu juga berjaya menyakinkan dua menteri untuk meletak jawatan, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Noraini Ahmad baru-baru ini yang pada awalnya keberatan untuk mengikut keputusan parti.

“Inilah sebabnya mengapa pemimpin-pemimpin seperti Noraini Ahmad dan Shamsul Anuar Nasarah sanggup letakkan jawatan mereka dalam kerajaan,” kata sumber dipetik berkata dalam sebuah portal.

Terdahulu, Agenda Daily juga melaporkan berhubung sumpah Zahid yang didedahkan oleh MP Pontian semasa pertemuan yang diadakan secara tertutup.

Sumber itu berkata Zahid berikrar meyakinkan ahli-ahli Parlimen dari GPS, PAS dan Bersatu bagi meningkatkan jumlah sokongan supaya UMNO dapat “kembali menjadi pengemudi induk dalam kerajaan”.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga dalam satu kenyataan menggesa supaya Majlis Tertinggi dan MP UMNO supaya bersatu menyokong Zahid, ia walaupun tidak menyatakan secara langsung merujuk kepada usaha untuk mengangkat Zahid sebagai PM tetapi menurut sumber Mohamad boleh menjadi orang tengah untuk mendamaikan dua kem yang berbeza pendapat dalam UMNO itu.

Menurut seorang lagi sumber berkata Zahid kini ragu-ragu sama ada Anwar akan dapat menggugurkan kes mahkamah terhadapnya kerana DAP yang berada dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Zahid juga tahu Anwar tidak boleh buat sesuka hati bebaskan dia kerana pemimpin dalam DAP seperti Tony Pua tidak akan berdiam diri,” kata sumber itu lagi.

Zahid sengaja dilihat senada dengan blok parti pembangkang khususnya dengan Anwar untuk menimbulkan retorik kerajaan gagal dan menderhaka, sebaliknya niat utamanya adalah bagi mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan dan dirinya ditabalkan sebagai PM.

Gerakan menjatuhkan kerajaan PN dilihat semakin giat dijalankan mutakhir ini kerana Zahid bakal berhadapan perbicaraan di mahkamah pada 24 Ogos nanti.

Pada masa ini UMNO hanya mempunyai 38 kerusi Parlimen. Beliau memerlukan sokongan daripada parti-parti lain dalam PN untuk menubuhkan kerajaan baharu yang akan dipayungi UMNO.

Menurut sumber dalaman UMNO, kem Zahid sedang giat memujuk MP PN untuk menyokong beliau sebagai PM menjelang Parlimen dibuka pada September ini.

Walau bagaimanapun, perancangan Zahid untuk mendapatkan sokongan majoriti dengan sokongan daripada MP PN dilihat sukar dicapai.

Muhyiddin difahamkan dikatakan bertegas dengan pendirian Bersatu untuk tidak bersekongkol dengan ‘kluster mahkamah’.

BERITA BERKAIT
POPULAR