
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
Dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung sekatan akaun media sosialnya, TikTok disekat atas arahan pihak berkuasa dinafikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Agensi tersebut dalam kenyataan menafikan kritikan Sanusi berhubung arahan untuk menyekat akaun TikTok peribadinya dan menjelaskan pengendali media sosial itu mempunyai garis panduan tersendiri.
“SKMM mengesahkan, tiada sebarang arahan diterima berhubung isu ini.
“Platform media sosial mempunyai garis panduan komuniti (Community Guidelines) yang menentukan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pengguna secara automatik apabila terdapat pelanggaran terhadap panduan tersebut, mahupun berdasarkan aduan orang ramai.
“Garis panduan komuniti sedemikian menetapkan jangkaan, mempromosikan keterangkuman dan mengurangkan kandungan memudaratkan atau yang berbaur jelik yang boleh mengganggu keharmonian dalam komuniti,” katanya.
Sanusi mendakwa akaun TikToknya disekat semalam, sekali gus menyifatkan tindakan berkenaan sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen secara maya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial miliknya itu bagi memudahkannya mendekati rakyat, khususnya menjawab pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap dirinya.
“Depa padam TikTok saya. Tak sat (tadi) kita buka, tak dak pi dah (sudah tiada). Kita baru dok (sedang) popular, medan kita nak jawab (isu) habislah.
“TikTok (saya) tak dak dah lah malam ni (sebab) kena padam, (ada) 5.2 juta ‘like’ habis (hilang), pengikut pun juta juga, nak buat lain, kena cari seorang demi seorang, lambat.
“Kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya,” katanya dalam satu ceramah di Baling, malam tadi yang disiarkan menerusi video dimuat naik pengguna TikTok yang kemudiannya tular hari ini.
Dalam video sama, Sanusi mendakwa beberapa rakannya mengalami nasib sama apabila akaun TikTok disekat.