
Bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Sufian kini mengendalikan program Keluar Sekejap.
UMNO diramalkan akan hilang separuh sokongan undi Melayu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang jika tidak menghapuskan persepsi buruk terhadap DAP yang ‘didoktrin’ sekian lama.
Bekas pemimpinnya, Khairy Jamaluddin mendakwa, seruan dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan agar ahlinya mengundi DAP merupakan sesuatu yang sensitif sehingga mencetuskan kemarahan serta penolakan dalam kalangan akar umbi.
“Pandangan dan perasaan orang UMNO bukan terhadap satu kaum…soal Melayu dan Cina tetapi terhadap parti DAP itu sendiri, yang selamanya ‘didoktrin’ dalam UMNO sebagai musuh atas sebab-sebab tertentu.
“Kalau benda ini tidak dibendung, ramai penyokong UMNO akan memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) dalam PRN nanti. Sekurang-kurangnya 50% daripada mereka yang selama ini menyokong UMNO,” katanya dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap.
Ahmad dilaporkan berkata pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.
Menurutnya, gesaan tersebut bukan atas nama parti tertentu sebaliknya atas nama kerajaan perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga kestabilan politik negara.
Kenyataan itu menerima respons negatif di media sosial malah Ahmad juga dikritik atas ‘keberaniannya’ membuat seruan itu ke atas parti bekas musuh UMNO itu.
Beberapa pemimpin UMNO menyifatkan seruan itu tidak salah kerana kini mereka bersama DAP dalam kerajaan campuran.
Namun ahli MKT UMNO, Isham Jalil memberi amaran sokongan kepada UMNO akan terhakis jika pemimpinnya terus mendesak ahli mengundi calon DAP pada PRN.
Kemudian, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dikatakan sudah menerima penjelasan Ahmad berhubung gesaan menyokong DAP pada PRN nanti.
Dalam program sama, Khairy yang juga menteri kesihatan menyifatkan Pakatan Harapan (PH) dinilai lebih berguna kepada Barisan Nasional (BN) berbanding BN kepada PH.
“Maksudnya pengundi PH yang tidak akan sokong calon BN jumlahnya lebih kecil daripada pengundi UMNO yang tidak akan sokong calon daripada PH.
“Sebab PH tak akan buang undi kepada PN, kebanyakan penyokong mereka sudah tentu bukan Melayu dia tidak akan beri undi kepada PAS, Bersatu. Mereka akan campak kepada UMNO atau dia tak akan keluar mengundi,” katanya.
Namun, katanya ada kemungkinan penyokong UMNO memberi undi kepada PN daripada PH.