
Datuk Seri Ronald Kiandee.
Keabsahan empat Ahli Parlimen (MP) Bersatu yang bertanding bawah lambang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibangkitkan Datuk Seri Ronald Kiandee semasa sidang Dewan rakyat hari ini.
Ronald yang juga MP Beluran semasa sidang hari ini mendedahkan bukti ‘surat’ bagi mengesahkan empat MP Sabah yang kini menyokong kerajaan adalah ahli parti Bersatu dan sepatutnya mereka mengosongkan kerusi tersebut serta-merta kerana sudah melanggar Akta Anti-Lompat Parti yang dikuatkuasakan pada 5 Oktober lalu.
“Walaupun kita menggunakan yang logo berbeza pada pilihan raya yang lalu, Tuan Yang Dipertua saya ingin dengan izin membaca sekeping surat yang ditulis oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia beralamat di Alam Mesra, Kota Kinabalu Sabah yang ditujukan kepada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu Malaysia.
“Surat ini ditandatangani Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah bertarikh 3 November 2021 yang lalu,” kata Ronald semasa perbahasan di Parlimen hari ini.
Kandungan tersebut antaranya memaklumkan semua enam calon yang bertanding atas tiket GRS sebenarnya adalah ahli Bersatu tetapi hanya menggunakan lambang lain semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, kata Ronald lagi.
“Enam calon-calon GRS yang bertanding atas logo GRS sebenarnya adalah calon Bersatu,” kata Ronald.
Ronald juga menggesa supaya Speaker baharu Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menjelaskan berhubung isu tersebut kerana terdapat bukti menunjukkan empat MP Sabah tersebut adalah ahli Bersatu yang melanggar ketetapan parti dan perlu mengosongkan kerusi mereka.
“Perbezaan kedudukan ini mungkin sesuatu yang lazim sebelum ini, tetapi dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan RUU (Rang Undang-Undang) Antilompat Parti yang dibawa oleh kerajaan yang lalu dalam dewan yang mulia ini maka perbezaan ini mesti diperjelaskan.
“Oleh itu, Datuk Speaker membawa kita kepada perkara ketiga iaitu keabsahan dan juga legitimasi kedudukan Yang Berhormat Tambun dalam proses undi percaya pada kali ini kerana kedudukan empat Ahli Parlimen yang legitimasinya dipertikaikan kerana Akta Lompat Parti,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, empat MP Bersatu Sabah yang bertanding semasa PRU-15 atas tiket GRS sebelum ini adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Bagaimanapun, empat MP tersebut sebelum ini bertindak mengumumkan keluar parti Bersatu dan menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).