
Media melaporkan pertukaran calon UMNO melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang dan Tanjung Surat.
UMNO menukar dua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehari sebelum penamaan jam 9 pagi tadi, setelah dikatakan calon awal tidak mendapat sokongan akar umbi.
Malah, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Hasni Mohammad juga dilaporkan berkata pertukaran itu bagi membolehkan Barisan Nasional menampilkan calon terbaik.
Media melaporkan pertukaran itu melibatkan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang dan Tanjung Surat.
Sebelum ini, UMNO mengumumkan Mohd Helmi Abdul Latif sebagai calon di DUN N16 Sungai Balang di Parlimen Muar.
Bagaimanapun, ia ditukar kepada calon baharu iaitu Selamat Takim.
Memetik Malaysiakini, Selamat menafikan dakwaan bahawa dirinya tidak mendapat sokongan akar umbi sehingga berlaku penolakan terhadap pencalonannya di kawasan tersebut.
“Isu pertukaran calon adalah proses normal ketika rundingan. Kepimpinan tertinggi yang tentukan siapa calon terbaik. Tidak ada isu penolakan,” kata Selamat seperti dilapor portal tersebut, pada Sabtu.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), Fadzmel Fadzil dilaporkan berkata, calon baharu dipertaruhkan bagi DUN N39 Tanjung Surat ialah Aznan Tamin.
Aznan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang diberikan watikah pencalonan menggantikan Datuk Syed Sis Abd Rahman.
Aznan menerusi hantaran di Facebook turut mendapatkan restu ibunya sebelum sebelum bergerak ke Pusat Penamaan Calon pagi tadi.
“Emak, reda emak adalah reda Allah. Doamu mampu menembus langit.
“Sebelum bergerak ke penamaan calon, perkara wajib yang saya lakukan ialah memohon restu ibu. Terima kasih mak atas segala-galanya,” katanya.