
UMDAP - singkatan UMNO dan DAP setelah kedua-duanya bekerjasama dalam Pakatan Harapan sebagaimana disebut Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
DAP menggesa supaya kerajaan campuran yang dibentuk bersama UMNO dipertahankan kerana ia satu-satu kerajaan yang dapat membantu rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew berkata kerajaan campuran bersama UMNO ketika ini adalah contoh model terbaik dan berharap dapat membawa kemenangan besar dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti.
“Hanya dengan kemenangan besar kita di Pulau Pinang dapat membantu mengekalkan Kerajaan Perpaduan, dan kerajaan hari ini perlu dikekalkan kerana hanya kita yang dapat memupuk perpaduan dan membawa dasar-dasar progresif untuk negara.
“Jika Kerajaan Perpaduan ini digulingkan dan gagal dipertahankan, maka kerajaan baharu yang akan menggantikan kita kelak akan membawa negara kita ke belakang.
“Kita tidak boleh membenarkan mana-mana puak termasuk pelampau agama untuk menerajui negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023 di sini hari ini.
Menurut Loke yang juga Menteri Pengangkutan, kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat juga bakal memberi kelebihan dan kestabilan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya.
Ini kerana, jelas beliau, sekiranya DAP tidak membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini, Pulau Pinang akan terus dipinggirkan dari segi peruntukan seperti yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu termasuk selepas tumbangnya Kerajaan PH pada Februari 2020.
“Langkah Sheraton telah menggantikan sebuah Kerajaan Pusat yang tidak pro-Pulau Pinang, mereka meminggirkan dan menganak-tirikan Pulau Pinang, projek-projek pembangunan diketepikan dan ini sudah semestinya membantutkan pembangunan di negeri ini.
“Tetapi hari ini, kita berada di dalam Kerajaan Perpaduan dan semangat kita dalam kerajaan ini adalah kita tidak akan meminggirkan mana-mana negeri, walaupun saya Menteri daripada DAP, namun saya akan menjaga seluruh rakyat dan seluruh negeri, apatah lagi negeri-negeri PH yang sudah tentu tidak akan dipinggirkan,” katanya lagi.