
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Propaganda kononnya orang Melayu mengundi DAP yang cuba dimainkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH)-UMNO disangkal Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Aktivis politik Bersatu itu menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke membuat analisis tidak tepat kononnya ramai orang Melayu menyokong partinya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.
Tun Faisal memberi senario keputusan PRN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek pada PRN 2023 yang memperlihatkan peralihan sokongan pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) lebih tinggi dan bukannya kepada calon DAP berbanding keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Dakwaan Anthony Loke tak tepat, yang undi PH dan DAP tidak ramai – mungkin hanya Melayu sekular liberal dalam PH dan penyokong PH, mungkin sediit dikalangan Melayu UMDAP (UMNO+DAP),” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Dalam keputusan DUN Sungai Pelek (N56), calon PH-DAP Lwi Kian Keong memperoleh 17,984 undi sementara calon PN, Suhaimi Ghazali mendapat 16,526 undi dan kemenangan dengan majoriti hanya 1,458 undi.
Berbanding semasa keputusan PRU-14 lalu, calon DAP, Ronnie Liu memperoleh 13,484 sementara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ng Chok Sin mendapat 6,898 dan calon PAS, Hajah Rohaya pula mendapat 5,200 undi. Liu mendapat kemenangan dengan majoriti 6,586 undi ketika itu.
Pada PRN 2023, pengundi bagi DUN Sungai Pelek meningkat menjadi 47,335 (pertambahan lebih kurang 17,000 undi) berbanding PRU-14 lalu.
“Undi PAS hanya 5,200 semasa PRU-14, dalam PRN 2023 meningkat kepada 16,526 undi, iaitu peningkatan lebih 11,000 undi
“Undi BN dulu sebanyak 6,898, jika beralih kepada DAP, akan menjadikan undi lebih kurang 20,200, tapi DAP hanya dapat 17,900 undi,” katanya lagi.
Tegas Tun Faisal, analisis keputusan PRN DUN Sungai Pelek walaupun UMNO-BN sudah bergabung dengan PH-DAP, mereka masih gagal mendapat pertambahan pengundi yang signifikan.
“Kesimpulan yang lebih tepat, undi BN sebahagian besarnya beralih kepada PN dan undi Dap hanya bertambah sebanyak 4,500 undi,” terangnya lagi.
Jelasnya lagi, purata pengundi Melayu kepada PH-DAP jauh masih rendah jika melihat kepada peratusan pengundi yang keluar pada PRN 2023 baru-baru ini.
“Peratus turun mengundi sekitar 73%, jika itu terpakai untuk semua kaum, maka 73% daripada 21,148 undi Bukan Melayu dan lain-lain adalah sebanyak 15,438 undi, maka undi Melayu adalah sekitar 9.46%, iaitu lebih rendah daripada average undi Melayu kepada PH dalam PRU-15, iaitu 11%.
“Pengundi Melayu Islam majoritinya masih tidak dapat menerima DAP,” katanya lagi.