
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Menteri Besar Selangor dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri akan mengangkat sumpah dalam satu istiadat di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, Isnin ini.
Tanda tanya berhubung jawatan MB Selangor hanya akan terjawab pada Isnin ini.
Selangor Royal Office dalam hantaran di Facebook rasmi hari ini memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor pada jam 11 pagi dan barisan exco pada jam 2 petang, menurut laporan Bernama.
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor pada Sabtu lepas, menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO menguasai 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamakan Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan PH-UMNO memenangi PRN itu.