Mageran langkah ke belakang, kerajaan awam masih berfungsi

June 9, 2021 · Politik

Gesaan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menubuhkan sebuah badan yang berkuasa mutlak seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada masa sekarang adalah langkah ke belakang, berbeza dengan Mageran 1969.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata Malaysia sekarang ini mempunyai sebuah kerajaan dan Kabinet yang berfungsi, berbeza dengan 1969 di mana Kabinet belum dibentuk selepas Pilihan Raya Umum 1967 dan kerajaan yang ada hanya sebuah kerajaan sementara atau ‘care taker government’.

Berkongsi pandangan mengenai pengurusan darurat negara dalam satu klip video yang dimuat naik di laman Facebook beliau malam tadi, Marzuki berkata sejak kebelakangan ini ada beberapa pihak mengemukakan pelbagai pandangan berhubung bagaimana negara patut diurus dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Ada yang mencadangkan Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Majlis Gerakan Negara yang mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir negara seperti mana yang dilaksanakan semasa proklamasi darurat tahun 1969 dahulu,” katanya.

Katanya, perisytiharan darurat 1969 adalah disebabkan masalah keselamatan akibat rusuhan kaum dan Yang di-Pertuan Agong ketika itu telah bersetuju melantik Allahyarham Tun Abdul Razak Husin sebagai Pengarah Mageran dan memberi kuasa mutlak pemerintahan dan eksekutif kepadanya.

Marzuki berkata keadaan yang sedang dihadapi negara sekarang ini jauh berbeza daripada situasi pada 1969.

“Pertamanya kita tidak berhadapan dengan darurat keselamatan, tetapi darurat kesihatan. Kedua, kita telah ada Kabinet yang telah berfungsi.

“Kabinet bersidang pada setiap hari Rabu dan banyak keputusan dibuat bukan sahaja mengenai pandemik Covid-19 tetapi juga pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, kebajikan rakyat, keselamatan, pertahanan, kewangan, pendidikan dan hubungan luar negara dan lain-lain perkara yang berkaitan,” katanya.

Ketiga katanya, kerajaan juga telah mempunyai beberapa mekanisme bersesuaian untuk mengurus darurat kesihatan, bukan darurat keselamatan, khusus bagi menangani pandemik Covid-19.

Oleh itu katanya, gesaan berkenaan hanya akan merencatkan perancangan kerajaan dan segala usaha penjawat awam, petugas barisan hadapan, industri dan rakyat seluruhnya untuk memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang kita hadapi pada masa ini.

Marzuki berkata, beliau percaya aktiviti politik dan proses demokrasi akan berlangsung dengan lebih rancak sebaik sahaja pandemik Covid-19 ini berakhir.

“Bukan sahaja nak adakan sidang Parlimen, nak ada pilihan raya pun boleh. Jadi buat masa ini kita tumpukan dahulu usaha kita untuk mengatasi masalah Covid-19.

“Dengan proses vaksinasi yang sedang giat dijalankan dan PKP yang sedang berkuat kuasa saya percaya kita memerlukan sedikit masa sahaja lagi untuk keluar daripada krisis yang sedang membelengu kita pada masa ini,” katanya.

Ikuti perkongsian penuh beliau di ruang Rencana Agenda Daily.

Berita berkaitan
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023· Isu semasa
Bukit Aman siasat ugutan bunuh PM tular dalam TikTok
November 26, 2023· Politik
Tiada laporan polis diterima berhubung rakaman tular perbualan lucah
November 17, 2023· Politik
Sebelum jadi PM semua nak reform, bila dah jadi PM lagi teruk: Dr Mahathir
November 13, 2023· Politik
Popular
Najib mohon DNAA bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan kes dana SRC
December 1, 2023
Identiti ‘Mr H’ rahsia dan tidak akan didedah, kata KPN
November 30, 2023
Besar pengorbanan Muhyiddin hingga jawatan PM dilepaskan: Tajuddin
September 20, 2021
Samsuri tak tolak anjur solat hajat berhubung tuntutan wang royalti
November 29, 2023
Lagi Politik terkini
Kes saman fitnah: Ramasamy sudah bayar Zakir RM1.52 juta
17 jam lalu · Politik
Najib mohon DNAA bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan kes dana SRC
17 jam lalu · Politik
Identiti ‘Mr H’ rahsia dan tidak akan didedah, kata KPN
November 30, 2023 · Politik
Isu pertalian dengan komunis, tiga pemimpin DAP saman MP Kepala Batas
November 29, 2023 · Politik
Wahab sudah sahkan identiti ‘Mr H’ didakwa dalang rakaman tular
November 29, 2023 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Ucapan Mahathir di Grand Finale PRK Kemaman
20 minit lalu
[VIDEO] UMNO sepatutnya tadbir negara bersama PN, bukan dengan DAP
12 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok