
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, cikgu dan anak murid.
Mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) sekiranya mahu menerima pemimpin UMNO yang dipecat perlu membuat pertimbangan yang wajar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi PH itu berkata perkara yang lebih penting adalah menjaga perpaduan dalam kerajaan campuran ketika ini, ia selepas parti anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertindak memecat beberapa pemimpin utama dan menggantung ratusan ahlinya baru-baru ini.
“Ia perlu menjaga kerukunan, kedamaian dan perpaduan Kerajaan Perpaduan, kita akan beri pertimbangan yang lebih luas,” katanya dipetik laporan Bernama.
Bagaimanapun, Anwar berkata setakat ini masih tiada bekas pimpinan UMNO yang dipecat menyatakan hasrat untuk bersama PH.
“Setakat waktu ini, masih belum ada sebarang pelawaan untuk ahli (UMNO) yang dipecat itu untuk bersama PH.
“Sekiranya ada, kita akan teliti dan tentunya mendapat pandangan pimpinan lain,” katanya lagi.
Pada Jumaat, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada UMNO.
Keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO itu turut menyaksikan Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Maulizan Bujang digantung keahlian selama enam tahun.
Turut digantung keahlian ialah Ahli Parlimen Jempol Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan.