
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengambil kerusi Parlimen daripada Khairy Jamaluddin dalam PRU-15 menang di Rembau, manakala Menteri Kesihatan kerajaan sementara itu pula yang 'dibuang' ke Sungai Buloh, kalah.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini (11 September 2022) sekali lagi menegaskan beliau diberitahu supaya tidak mempertahankan kerusi Parlimen Rembau bagi membolehkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di situ.
“Saya telah menyatakan apa yang perlu saya katakan sebagai jawapan kepada kenyataannya. Ia adalah kebenaran dan saya tidak perlu membuktikannya.
“Saya tidak akan berbual perkara ini secara terbuka lagi. Biar saya selesaikan perkara ini secara tertutup sekarang,” kata Khairy memetik laporan NST.
Mohamad semalam menafikan mahukan kerusi yang dimenangi Khairy sambil berkata beliau belum memutuskan di mana untuk bertanding.
Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat dipetik sebagai berkata, sudah tiba masanya beliau bertanding kerusi Parlimen dan sebagai Timbalan Presiden UMNO beliau boleh memilih di mana sahaja yang beliau mahu.
Minggu lalu Khairy berkata Mohamad telah mengarahkannya mencari kawasan lain.
Khairy berkata Mohamad telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di Rembau beberapa tahun lalu, dan baru-baru ini mengulanginya.
“Apa yang boleh saya buat? Dia adalah bos,” kata Khairy
Ditanya apakah senario terburuk, Khairy berkata: “Saya tidak bertanding. Tidak mengapa dan saya baik-baik saja.”
Kemelut perebutan kerusi Parlimen Rembau bermula setelah Khairy mendedahkan beliau menerima mesej jelas daripada Tok Mat meminta diberi laluan, dan diarah mencari kawasan lain.
“Saya (baru-baru ini) menerima satu mesej daripada (Timbalan Presiden Umno) Mohamad (Hasan) untuk memberi laluan.
“Saya akan ikut apa yang Umno mahu dan di mana mereka mahu saya bertanding. Tak apa. Saya belum terima sebarang arahan. Saya akan berasa malu untuk ceroboh kawasan lain.
“Tak apa. Senario terburuk, saya tidak akan bertanding,” kata Menteri Kesihatan itu.
Susulan itu, beberapa pihak melihat tindakan mengarahkan Khairy berundur dari Parlimen Rembau bertujuan menamatkan kerjaya politik bekas Ketua Pemuda UMNO itu, yang dilihat semakin popular dalam kalangan rakyat, terutama usaha beliau menangani wabak Covid-19, selain menempa nama pada peringkat antarabangsa.
Khairy dilihat tergolong dalam barisan baharu yang berpotensi untuk mengambil alih kepemimpinan tertinggi UMNO dan langkah beliau harus dicantas terlebih dahulu, kata individu yang rapat dengannya tetapi tidak membenarkan nama disiarkan.
Sumber itu mengimbas sejarah Khairy bertanding Presiden UMNO pada 2018 dan memperoleh 51 undi di belakang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (93 undi), tetapi mendahului veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah (23 undi).
“Dia adalah antara barisan baharu yang masih berusia di bawah 50 tahun dalam UMNO, tetapi telah menunjukkan potensi untuk memimpin negara. Menjadi menteri pada 2013 hingga Barisan Nasional (BN) kalah PRU-14 pada 2018.
“Kerjaya menteri tertenti sekejap apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah Kerajaan Pusat selama 22 bulan. Tetapi sebaik Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negara, dia diangkat semula menjadi menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Potensi kepemimpinannya dipercayai oleh parti lain, dan apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, Khairy diberi tanggungjawab besar sebagai Menteri Kesihatan untuk menangani wabak Covid-19 yang melanda negara.
“Pemimpin UMNO yang telah berusia lebih 50, 60 tahun sekarang melihat bahaya potensi Khairy. Apa lagi dengan Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan) juga bercita-cita menjadi Perdana Menteri.
“Jadi suruh Khairy kosongkan kerusi Rembau dan tawarkan di kerusi boleh kalah seperti Seremban… ini rancangan untuk mencantas Khairy,” kata sumber itu lagi.
Untuk rekod, Mohamad adalah Ketua Bahagian UMNO Rembau, manakala Khairy timbalannya. Beliau hanya bertanding peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Kecil DUN Rantau pada 2019.