
Kebangkitan rakyat pada PRN lalu boleh diulangi pada PRK Pulai dan Jeram.
Gelora gelombang kebangkitan rakyat menyokong Perikatan Nasional (PN) terus dirasai selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dan semangat itu membara untuk menembus sempadan Johor kubu parti lawan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kini jelas rakyat memilih PN yang lebih stabil dan terbukti berjaya mentadbir negara ketika dunia berhadapan krisis kesihatan, ia berbeza dengan pentadbiran kerajaan campuran yang masih sibuk bermain politik sehingga rakyat tertekan dengan kos sara hidup.
Beliau berkata, pengundi yang sebelum ini memilih Umno tidak lagi bersama parti itu selepas Umno berpakat dengan Pakatan Harapan (PH) turut disertai PKR dan DAP.
Katanya, akar umbi UMNO tidak menerima keputusan pucuk pimpinannya bergabung dengan DAP yang lari daripada perjuangan asal membela agama dan bangsa.
“Saya yakin majoriti pengundi memilih calon PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada 9 September ini”, katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis mengumumkan dua calon untuk Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di sini hari ini.
Pakar bedah Dr Mohd Mazri Yahya bertanding bagi DUN Simpang Jeram manakala Zulkifli Jaafar calon Parlimen Pulai.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
PRK di dua kawasan berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.