
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin menyangkal dakwaan terdapat larangan pemakaian seluar pendek dan penjualan arak di Langkawi.
Katanya, dakwaan itu merujuk kepada hantaran Facebook Menteri Pelancongan, YB Dato Sri Tiong King Sing yang mendakwa beliau menerima aduan daripada pelancong tentang larangan tersebut.
“Merujuk pada hantaran tersebut, saya terpanggil untuk memberikan penjelasan supaya tiada siapa terkeliru dengan dakwaan tersebut. Saya yakin sebagai Menteri Pelancongan, YB berkenaan mempunyai cukup pengetahuan tentang destinasi-destinasi pelancongan popular di negara ini.
“Apatah lagi Pulau Langkawi yang telah sekian lama tersohor sehingga melayakkannya menerima ‘Asia Best Award 2022’ dan diperakui sebagai salah sebuah pulau terbaik di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau lagi, beliau menjemput YB Dato’ Tan Sri Tiong untuk hadir ke Langkawi bagi melihat dan meninjau sendiri sejauh mana kebenaran aduan yang diterima itu.
“Saya percaya YB Menteri itu perlu melihat keadaan sebenar bagi memudahkan beliau menjalankan tugasnya kerana antara tugas utama Menteri Pelancongan, ialah mempromosi negara ini dan negeri-negeri serta wilayah-wilayahnya, di samping mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh menakut-nakutkan pelancong.
“Ini termasuklah kenyataan yang hanya berdasarkan aduan yang bersifat ‘hearsay’ kerana tidak diketengahkan sebarang bukti. Kenyataan seperti itu tentu sahaja memberi implikasi negatif kepada industri pelancongan negara,” jelasnya lagi.
Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan Negeri hanya menghadkan penjualan arak di kawasan yang didiami oleh majoriti orang bukan Islam.
“Sesungguhnya Kerajaan Kedah sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelancong dan menghormati hak peribadi mereka serta pada masa yang sama menganjurkan mereka menghormati resam dan budaya setempat sebagaimana menjadi amalan lazim di mana-mana juga destinasi pelancongan di seluruh dunia.
“Saya berharap dengan penjelasan ini segala persoalan yang dibangkitkan telah terjawab,” ujarnya lagi.