
Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan akan merekrut ahli UMNO yang dipecat.
Meski tidak menyebut secara jelas namun hanya UMNO yang memecat ahlinya malam tadi.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang kini bersama PAS dan PN berharap mereka yang terlibat bersabar dengan apa yang berlaku.
“Sebuah parti tidak siuman sedang ghairah pecat orang. Sabar yang kena pecat, kami akan beri pembelaan. Hidup PN,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook tengah malam tadi.
Malam tadi, UMNO mengumumkan pemecatan Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Nor Omar serta puluhan ahli lain juga menggantung keahlian selama enam tahun terhadap empat pimpinan termasuk Datuk Seri Hishamuddin Hussien.
Shahidan turut dipecat dari UMNO tahun lalu selepas bertanding atas tiket PN untuk mempertahan kerusinya di Arau susulan digugurkan daripada senarai calon pada PRU-15.
Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari turut memberi bayangan serupa dengan berkongsi kenyataan yang disertakan dengan sekeping gambar kapal yang hampir karam dengan bot penyelamat.
“Walaupun bahtera itu besar, jika jelas ia akan tenggelam, selamatkanlah diri dan orang tersayang.
“Kami tawarkan bahtera penyelamat. Datanglah menjadi keluarga,” tulisnya di Facebook.