
Ketua Armada Bersatu Malaysia yang juga Ahli Parlimen Marang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sudah semakin terdesak hingga terpaksa dibela oleh Pemuda DAP (DAPsy) dalam isu berkaitan cukai Yayasan Al-Bukhary.
Menurutnya, pada awalnya Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba membela Guan Eng, tetapi kenyataan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dalam isu berkaitan semakin mengelirukan.
“Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab. Akhirnya jawapan pembelaan Anwar semakin menjerat dirinya dan melilit lebih ketat leher Guan Eng.
“Hari ini, satria DAP iaitu Kelvin Yii dari DAP Socialist Youth (DAPsy) pula cuba masuk gelanggang dengan mencabar saya.
“Apakah kerana kuda tua Guan Eng tidak lagi berupaya mempertahankan dirinya maka budak suruhannya disuruh menyalak kuat?,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi (26 Mac 2023).
Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Marang berkata Kevin tidak perlu mencabar beliau kerana perbuatan seperti itu seperti menegakkan benang basah.
Malah katanya, adalah terlalu kebudak-budakan untuk beliau melayan cabaran Pemuda DAPsy itu, sedangkan isu yang dibangkitkan adalah mudah dan jelas, namun Guan Eng gagal menjelaskannya.
Beliau menggariskan beberapa perkara berkaitan hal itu iaitu:
- Bukankah benar Yayasan Al-Bukhary adalah badan kebajikan Islam yang layak dan telah mendapat pengecualian cukai?;
- Bukankah benar LHDN tidak iktiraf pengecualian cukai tersebut dan mengenakan cukai penalti terhadap yayasan itu?;
- Bukankah benar hal ini terjadi semasa Guan Eng Menteri Kewangan dan LHDN di bawah kawalan Menteri Kewangan?;
- Bukankah benar Anwar mengatakan di Dewan Rakyat bahawa kuasa Ketua Pengarah LHDN adalah mutlak?
- Bukankah benar kenyataan Anwar adalah bohong kerana Seksyen 44(6B) dengan jelas menyatakan keputusan Ketua Pengarah LHDN boleh dirayukan kepada Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan boleh buat keputusan yang sewajarnya?; dan
- Bukankah benar terdapat satu lagi peruntukan Seksyen 127(3) yang lebih meluas yang merupakan kuasa Menteri Kewangan berkenaan pengecualian cukai?
“Oleh yang demikian bukankah benar Anwar tidak menyatakan sepenuhnya hal yang saya sebutkan di atas sehinggakan jawapannya adalah “half truths” iaitu satu pembohongan?
“Maka, bukankah wajar Anwar dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana beliau telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan bersifaf menghina Dewan Rakyat pada 21 Mac 2023?
“Itulah yang akan dilakukan oleh Armada dan ketika itulah Ahli Parlimen DAPsy boleh berhujah di Dewan Rakyat. Jangan sekadar berkokok di luar gelanggang seperti anjing menyalak bukit!,” katanya.