
Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.
MCA menggesa DAP supaya meminta maaf kerana pernah menggelar mereka sebagai “anjing UMNO” sebelum ini, kata Datuk Seri Ti Lian Ker.
Naib Presiden MCA itu membuat gesaan susulan kontroversi kecaman terhadap DAP yang digelar sebagai “anjing suruhan UMNO”, walhal pemimpin DAP sebelum ini terlebih dahulu yang memberi pelbagai gelaran kepada lawan politiknya tetapi kini koyak pula apabila diberi gelaran sama.
“Saya gembira mengetahui DAP tidak boleh menerima (kritikan) ini apabila mereka sendiri pernah melakukan lebih teruk selama beberapa dekad. Apakah bezanya digelar “anjing suruhan” dengan ‘anjing UMNO’ hanya kerana mempunyai pandangan jauh untuk mengakui dan menerima realiti politik pada masa itu? Kesedaran DAP terlalu lambat dan mereka kini hanya “meniru” naratif MCA selama ini yang berkorban dan berkompromi demi perpaduan dan keharmonian negara.
“DAP sekarang cuba berlakon menjadi mangsa dan rasa terhina apabila diberi gelaran nama. Daripada meminta Syed Saddiq menarik balik kenyataannya, DAP perlu terlebih dahulu bertaubat dengan memohon maaf kepada MCA sebagai contoh untuk diikuti oleh Syed Saddiq,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kenyataan Lian Ker itu ekoran seorang Ahli Parlimen DAP dari Bangi, Syahredzan Johan yang tidak berpuas hati dengan kecaman Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggelar DAP sebagai “anjing suruhan” Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu, bekas ketua pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mengeluarkan kritikan sama terhadap DAP dengan memberi gelaran sama.
Syahredzan mendakwa kritikan tersebut menghina beliau sebagai orang Melayu.
Menurut Lian Ker lagi, DAP tidak perlu terasa dengan kritikan sedemikian memandangkan mereka sebelum ini juga menggelar Zahid sebagai warga “Indon” semasa kempen pilihan raya dahulu.
“Dalam kempem sebelum pilihan raya mereka kepada rakyat supaya tidak mengundi MCA dan Khairy Jamaluddin, DAP menyifatkan undi untuk MCA dan Khairy adalah undi untuk “orang Indonesia” merujuk kepada Zahid Hamidi.
“Serangan dan penghinaan ini sangat berkesan terhadap lawan mereka,” katanya lagi.
Beliau juga menggesa agar DAP supaya meminta maaf terlebih dahulu kepada MCA sebelum meminta orang lain berbuat demikian.
“Saya ingin mengatakan ini sekali lagi ‘DAP mesti menunjukkan penyesalan dan memohon maaf kepada MCA!’
“DAP mesti “taubat” untuk menjadi bersih dan dipercayai,” ujarnya lagi.
Kecaman terhadap DAP baru-baru ini ekoran pendirian longgar parti itu berhubung kes rasuah dihadapi Zahid selepas pendakwaan memohon untuk menghentikan prosiding di mahkamah.