
Muhyiddin mengiringi calon PN di Gombak pagi tadi. Gambar Agenda Daily
Kehadiran nama-nama besar di pusat penamaan calon Parlimen Gombak yang mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) utama mencuri tumpuan ramai hari ini.
Calon Perikatan Nasional (PN) diiringi Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin paling awal tiba di pusat penamaan calon Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu bersama-sama rombongan penyokong yang jauh lebih ramai berbanding Pakatan Harapan (PH)-UMNO.
Muhyiddin mengiring tiga calon PN bersama-sama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Muhammad Hilman Idham dan Muhammad Hanif Jamaluddin.
Azmin akan bertanding di Hulu Kelang, sementara Hilman di Gombak Setia dan Hanif di Sungai Tua.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba kemudiaan bersama pengiringnya sekitar jam 8.30 pagi tanpa kehadiran para penyokong dan difahamkan penyokong PH-UMNO sedikit lewat tiba ke pusat penamaan calon.
Anwar yang juga Pengerusi PH setiba di depan pusat penamaan calon disambut sorakan ‘hoi ya hoi’ oleh penyokong PN yang menyindirnya kerana sebelum ini sering menyanyikan lagu tersebuts semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
PH-UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini di Parlimen Gombak meletak tiga calon di DUN iaitu bagi Sungai Tua Datuk Seri Amiruddin Shaari (PH); Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli (PH) dan Gombak Setia Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN).
Suasana di luar pusat berkenaan meriah dengan kehadiran jentera dan penyokong pelbagai parti dengan jumlah penyokong PN jauh lebih ramai memenuhi setiap pelosok padang sekolah tersebut.
Setakat ini, proses penamaan calon terkawal tanpa sebarang provokasi dengan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serentak pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai manakala pengundian awal, 8 Ogos ini.
PRN kali ini membabitkan 36 Dun di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).