
Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Peruntukan sama kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang akan disalurkan secara sama rata, kata Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Menteri Besar Kelantan itu berkata keputusan tersebut dibuat memandangkan ADUN pembangkang juga dipilih rakyat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, ia berbeza dengan langkah kerajaan campuran yang sehingga hari ini tidak menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) selepas hampir 9 bulan menjadi kerajaan.
Jelasnya lagi,pilihan raya sudah selesai dan tanggungjawab ADUN kini adalah kepada rakyat.
“Kita akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat tidak kira kerajaan atau pembangkang kerana mereka dipilih oleh rakyat.
“Jadi kita putuskan akan beri peruntukan yang sama, ini berasaskan kepada apa yang disebut dalam al-Quran, jangan kerana kebencian kami kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil.
“Walaupun aliran politik pelbagai namun pilihan raya sudah selesai, yang ada hanyalah wakil kepada rakyat,” katanya dipetik laporan BH.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, PAS dan gabungan PN memperoleh 43 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala dua kerusi dimenangi masing-masing satu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Nassuruddin juga berkata kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu secara berperingkat.
Ujarnya, perkara itu akan menjadi keutamaan beliau selepas dipertanggungjawab mengetuai pentadbiran negeri itu.
“Kita akan cuba menyelesaikan masalah air kerana semua maklum masalah berkenaan, namun bukan hanya di Kelantan.
“Perkara itu akan menjadi keutamaan untuk diselesaikan secara berperingkat. Selain itu, kita akan mengukuhkan sektor ekonomi melalui infrastruktur terutama pelabuhan, jaringan lebuh raya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selain meningkatkan sumber asli terutama mineral,” katanya lagi.
Terdahulu, Nassuruddin mengadakan mesyuarat Exco kerajaan negeri kali pertama sejak pembentukan kerajaan negeri baharu.
Mengulas lanjut katanya, beliau juga akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kunjungan hormat akan dilakukan dalam masa terdekat. Bagi saya Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai dan isu politik sudah tidak timbul.
“Sekarang adalah antara hubungan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Kita di Kelantan sejak dulu lagi baik dengan Kerajaan Persekutuan dan kita akan kekalkan hubungan baik berkenaan,” katanya.