
Lapan unit kediaman musnah dalam kebakaran di Perumahan Awam Sri Johor, Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, malam tadi.
Seorang mangsa kebakaran kerugian puluhan ribu ringgit, termasuk RM40,000 wang tunai dan barang kemas apabila api memusnahkan lapan unit rumah di Perumahan Awam Sri Johor, Bandar Tun Razak di ibu negara, malam tadi.
T Mary, 37, kesal kerana menyimpan wang tunai yang banyak di rumah, selain terkilan gara-gara gagal menyelamatkan beberapa barang kemas yang dikumpul sejak sekian lama.
“Ketika kejadian, saya berada di tempat kerja berhampiran hospital berdekatan dan menerima panggilan daripada kakak mengenai kebakaran ini.
“Tujuh orang tinggal di dalam rumah itu dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan namun apabila semua ini terjadi, penyesalan terus menghantui diri kerana menyimpan wang tunai sebanyak itu di dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira 9.20 malam tadi, lapan unit rumah di tingkat empat, Blok 31 perumahan berkenaan terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kebakaran tersebut dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan lalu merebak di keseluruhan tingkat.
Seorang lagi mangsa kebakaran, RVincent yang berusia lingkungan 30-an berkata dia menerima panggilan mengenai kebakaran itu daripada kakaknya dan tidak sempat pulang ke rumah.
“Ketika itu, saya berada di Taman Maluri, di sini bersama isteri dan dua anak untuk makan malam dan tiba-tiba kakak menelefon saya memaklumkan rumah sedang terbakar.
“Saya terkejut terus bergegas pulang dan apabila sampai di rumah, kakak saya sempat menyelamatkan diri dengan memecahkan mangga pintu menggunakan pisau kerana kunci ada pada saya,” katanya.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kebakaran dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan tengah malam ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.17 malam.
Susulan itu, katanya, seramai 35 anggota menaiki 11 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat dan BBP Cheras dikerahkan ke lokasi kejadian.