
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap kepada media ketika hadir pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PN di Ruang Legar Menara PGRM, di Cheras, hari ini (22 Januari 2023). - Gambar Agenda Daily
Perikatan Nasional (PN) sedang meneliti calon yang tepat dan mampu menang untuk diketengahkan pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan selewat-lewatnya Julai ini.
Pada masa sama, PN yakin mampu meraih kemenangan di tiga negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) dan mengekalkan penguasaannya di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gabungan itu amat berhati-hati dalam proses rundingan atau pemilihan calon supaya hanya individu yang mampu menang akan disenarai pendek.
“PN mahu menang di Selangor, Negeri Sembilan dan tidak mustahil juga boleh menang di Pulau Pinang.
“PN perlu memastikan semua calon yang akan bertanding kali ini bukan sahaja boleh diterima oleh orang Melayu tetapi juga diterima baik oleh bukan Melayu terutamanya di tiga negeri yang dikuasai PH ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PN di Ruang Legar Menara PGRM, di Cheras, hari ini (22 Januari 2023).
Hamzah bagaimanapun enggan mengulas mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRNdi tiga negeri di bawah PN.
Untuk rekod, terdapat enam negeri terbabit dengan PRN tahun ini Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang akan melibatkan 245 kerusi DUN iaitu 56 kerusi di Selangor, diikuti Kelantan (45); Pulau Pinang (40); Negeri Sembilan (36); Kedah (36); dan Terengganu (32).
Mengulas pemberian wang ketika kempen pilihan raya oleh segelintir individu sebagaimana dinyatakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Hamzah berkata ketika berkempen, orang ramai akan datang kepada calon mereka dan meminta bantuan.
“Tidak pasti tentang itu (agihan wang tunai kepada orang ramai ketika PRU-15)… tetapi apabila kita bercakap tentang memberi wang, niat mereka lebih penting.
“Kadang-kadang orang itu akan meminta wang kepada calon untuk baik pulih seperti untuk rumah mereka… jadi sebab itu kita perlu berhati-hati dengan niat mengapa kita memberi wang kepada orang yang memintanya,” katanya.
Semalam, Abdul Hadi menjelaskan bahawa mengikut undang-undang pilihan raya sedia ada calon atau wakilnya tidak boleh memberi wang atas apa alasan pun, kepada orang ramai ketika kempen.
“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri, tetapi orang awam mahu beri sedekah terpulang kepada dia,” katanya mengulas tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen mencabar kemenangan PAS di Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, atas dakwaan wujud rasuah.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PAS yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan berlaku politik wang dalam PRU-15 hingga menyebabkan kejatuhan Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya kata Muhammad Sanusi, UMNO adalah parti terkenal di seluruh dunia kerana lebih banyak bermain politik wang.
“Kami ini mana ada duit nak main politik wang. Yang tersohor di serantau dunia kerana main politik wang adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Parti lain tak ada tetapi UMNO dan BN ini sejak 70-an dan 80-an hinggalah sekarang. Tak payahlah palit pada orang lain,” kata Muhammad Sanusi.