
Kapal MV Ever Given ditarik ke tengah Terusan Suez selepas terkandas sejak Khamis lalu. - Gambar SCA
Lalu lintas perkapalan melalui Terusan Suez di Mesir disambung semula hari ini, setelah kapal kontena raksasa MV Ever Given yang menyekat laluan sibuk itu selama hampir seminggu ditarik keluar, kata pihak berkuasa terusan itu.
Kapal sepanjang 400 meter itu tersangkut di tebing bahagian selatan terusan berkenaan Khamis lalu secara melintang berikutan angin kencang, sekali gus menyekat laluan perkapalan antara Eropah dan Asia.
Siaran secara langsung stesen televisyen menunjukkan Ever Given dikelilingi bot tunda yang menariknya ke tengah terusan. ExtraNews melaporkan kapal sepanjang lebih empat padang bola itu bergerak selaju 1.5 knot.
“Admiral Osama Rabie, Pengerusi Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) mengumumkan trafik di terusan itu dibuka semula, selepas pihak berkuasa berjaya menariknya ke tengah. MV Ever Given sudah bebas sekarang,” kata kenyataan SCA.
Selepas kerja-kerja pengorekan dan penggalian di tebing terusan, pasukan penyelamat SCA dan dari firma Belanda, Smit Salvage, berjaya membebaskan kapal itu menggunakan bot tunda.
Kejadian Ever Given menghalang lalu lintas terusan itu juga menyebabkan sekurang-kurangnya 369 kapal lain terkandas, termasuk kapal kontena dan kapal minyak.
Rabie berkata, SCA yakin dapat membawa konvoi 100 kapal melalui Terusan Suez sehari, selepas Ever Given melepasinya. – Agensi