
Taufan Nanmadol yang menyebabkan Jepun mengeluarkan amaran Tahap 5 secara rasmi mendarat sekitar jam 7 malam semalam waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia).
Taufan Nanmadol yang melanda wilayah Pulau Kyushu hari ini (Isnin, 19 September 2022), membawa hujan lebat dan angin kencang yang memutuskan talian elektrik, dan menyebabkan jutaan penduduk berpindah ke tempat selamat.
Selepas merempuh Kagoshima, Taufan Nanmadol berada berhampiran bandar Fukuoka pada pagi ini dengan membawa angin berkelajuan maksimum 126 kilometer sejam.
Ia dijangka membawa bersamanya 400 milimeter hujan di wilayah itu ketika ‘taufan sekali dalam beberapa dekad’ menuju ke laluan timur laut yang akan membawanya di sepanjang pantai barat pulau utama Honshu, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Ribut itu diramalkan akan menyebabkan hujan lebat ke atas sebahagian besar Honshu pada Selasa, membawa kepada risiko banjir dan tanah runtuh, kata agensi itu.
Ia telah mengeluarkan amaran banjir untuk Tokyo dan wilayah Kanagawa yang bersebelahan, manakala sebahagian besar Kyushu dan wilayah di timur laut berada di bawah amaran banjir.
ANA Holdings dan Japan Airlines, dua syarikat penerbangan utama negara itu, membatalkan hampir 800 penerbangan. Setakat jam 9 pagi waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia), lebih 200 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang antarabangsa utama di Tokyo dan Osaka, menurut perkhidmatan pengesanan FlightAware.com.
JR West juga menghentikan semua kereta api peluru Sanyo Shinkansen antara stesen Hiroshima dan Hakata hari ini.
Syarikat kereta api itu berkata ia juga akan mengurangkan bilangan kereta api peluru yang beroperasi antara Osaka dan Hiroshima sehingga sekitar jam 2 petang pada Isnin, sebelum menggantung perkhidmatan di dua bandar utama berkenaan.
JR Central pula berkata semua kereta api peluru Tokaido Shinkansen antara Osaka dan Nagoya akan dibatalkan sepanjang hari mulai petang Isnin. Ia juga akan mengurangkan secara drastik bilangan kereta api antara Nagoya dan Tokyo.
Kira-kira 300,000 rumah di Pulau Kyushu terputus bekalan elektrik pada pagi Isnin, menurut pihak berkuasa Transmisi & Pengagihan Kuasa Elektrik Kyushu.
Pada Ahad, Perdana Menteri Fumio Kishida menyeru orang ramai untuk berpindah segera jika mereka “walaupun merasakan bahaya yang sedikit” ketika beliau menghadiri mesyuarat dengan menteri dan pegawai kanan yang bertanggungjawab menangani taufan itu.
Kishida juga mengarahkan pegawai “untuk mengambil semua langkah yang mungkin bagi memastikan keselamatan orang ramai”. – Agensi