Erdogan arah usir duta AS, sembilan negara lain

October 24, 2021 · Dunia

Turki bakal mengusir duta Amerika Syarikat (AS) dan sembilan negara Barat lain, susulan tindakan mereka mendesak pembebasan aktivis, dermawan dan ahli politik, Osman Kavala.

Arahan pengusiran dan perisytiharan ‘persona non grata’ ke atas semua 10 duta terbabit dikeluarkan Presiden Recep Tayyip Erdogan kepada Kementerian Luar Turki.

Persona non grata adalah istilah dalam bahasa Latin bermaksud orang yang tidak dihargai atau dalam bahasa mudah, orang yang tidak diingini, dan ia adalah satu amalan diplomasi membabitkan hubungan diplomatik antara negara.

Mengikut Artikel 9 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961, sesebuah negara yang menerima kedatangan seorang diplomat asing boleh pada bila-bila masa tanpa menyatakan apa-apa sebab, mengisytiharkan seorang diplomat asing itu sebagai persona non grata. Akibat perisytiharan itu, diplomat asing berkenaan tidak boleh tinggal di negara ini dan hendaklah dibawa balik oleh kerajaannya ke negara asal.

Tujuh daripada duta terbabit adalah negara sekutu Turki dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan tindakan itu, jika dilaksanakan, akan memberi kesan terhadap hubungan Erdogan dengan negara-negara Barat.

Kavala, penyedia dana kepada banyak kumpulan aktivis telah dipenjara selama empat tahun, dituduh membiayai tunjuk perasaan di seluruh negara pada 2013 dan terlibat dalam rampasan kuasa yang gagal pada 2016.

Dalam kenyataan bersama pada 18 Oktober lalu, duta Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Netherlands, Norway, Sweden, Finland, New Zealand dan AS, mendesak perbicaraan Kavala dipercepatkan dan pembebasan segera.

Mereka telah dipanggil oleh Kementerian Luar Turki yang menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab.

“Saya memberikan arahan yang diperlukan kepada menteri luar dan bertanya apa yang mesti dilakukan: Sepuluh duta ini mesti diisytihar persona non grata. Anda akan menyelesaikannya dengan segera,” kata Erdogan ketika berucap di Eskisehir, barat laut Turki.

“Mereka akan tahu dan memahami Turki. Pada hari mereka tidak tahu dan faham mengenai Turki, mereka akan meninggalkan (Turki),” katanya disambut sorakan orang ramai.

Kedutaan AS dan Perancis serta White House dan Jabatan Negara AS tidak memberi sebarang jawapan apabila diminta mengulas, lapor Reuters.

Erdogan baru-baru ini berkata beliau merancang bertemu Presiden Joe Biden ketika sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Rome hujung minggu depan.

Sementara itu, Kedutaan Norway berkata mereka tidak menerima apa-apa notis daripada pihak berkuasa Turki.

“Duta kami tidak melakukan apa-apa yang mewajarkan penyingkiran beliau,” kata jurucakap Kementerian Luar Norway, Trude Maaseide sambil menambah bahawa Turki menyedari pandangan Norway.

“Kami akan terus menggesa Turki untuk mematuhi piawaian demokrasi dan kedaulatan undang-undang yang diakui negara di bawah Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah,” katanya. – Agensi

Berita berkaitan
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024· Isu semasa
Anwar sahkan akan hadir ke sidang APEC walaupun digesa boikot
November 7, 2023· Isu semasa
PAS anjur perhimpunan hujung minggu ini tak larang laungan takbir: Laporan
October 23, 2023· Politik
Tiada liputan PMX berlepas ke UAE oleh media arus perdana?
October 5, 2023· Politik
Popular
Tempoh kuarantin Covid-19 di Jerman hanya 5 hari
May 4, 2022
Akibat bom tentera Israel, lebih 40 ribu warga Palestin hilang tempat tinggal
October 9, 2023
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok