
Polis berjaga-jaga selepas laporan tembakan berlaku di Monterey Park, California, pada 22 Januari 2023. - Gambar EPA-EFE
Seorang lelaki menembak mati 10 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 10 yang lain di dewan tarian ketika sambutan Tahun Baharu Cina lewat Sabtu lalu berhampiran Los Angeles sebelum melarikan diri dari tempat kejadian, kata polis.
Penembak, yang masih bebas selepas serangan di bandar Monterey Park, dipercayai seorang lelaki Asia berusia antara 30 dan 50 tahun berdasarkan penerangan daripada saksi, kata pegawai penguat kuasa undang-undang.
“Kita perlu menangkap orang ini secepat mungkin,” kata Syerif Daerah Los Angeles Robert Luna pada sidang media pagi Ahad di Monterey Park, rumah kepada salah satu komuniti Asia Amerika terbesar di Amerika Syarikat (AS).
Terdahulu pada pagi Ahad, jabatan sheriff berkata mereka tidak tahu sama ada serangan itu bermotifkan perkauman. Lima daripada mangsa adalah lelaki dan lima perempuan, kata Luna. Identiti mereka tidak didedahkan kepada umum.
Luna kemudian mengeluarkan imej suspek yang nampaknya diambil daripada rakaman kamera pengawasan yang menunjukkan dia memakai cermin mata, berjaket gelap dan topi gelap dengan jalur putih.
Jabatan sheriff berkata ia mengeluarkan imej itu dalam usaha untuk mengenal pasti suspek dan dia harus dianggap “bersenjata dan berbahaya.”
Lewat pagi Ahad, polis menggunakan kenderaan berperisai mengepung sebuah van putih di Torrance, California, kira-kira 34 kilometer dari tempat kejadian, yang dikaitkan dengan suspek, kata pegawai.
Luna berkata pada taklimat petang Ahad seorang lelaki yang menyerupai suspek dikatakan berada di Torrance dan polis percaya ada orang di dalam kenderaan itu.
“Kami tidak tahu keadaan mereka. Mungkinkah itu suspek kita? Kemungkinan.”
Pegawai sedang menyiasat sama ada insiden di tempat tarian lain di bandar Alhambra, kira-kira 20 minit kemudian pada malam Sabtu ada kaitan dengan pembunuhan beramai-ramai di Monterey Park.
Di tempat kedua, saksi berkata seorang lelaki Asia berjalan masuk sambil memegang pistol yang kemudian dirampas oleh pengunjung. Tiada siapa yang ditembak dan lelaki itu melarikan diri, kata Luna.
Apabila polis tiba di dewan tarian Monterey Park, orang ramai “berduyun-duyun keluar dari lokasi sambil menjerit,” kata pegawai jabatan Andrew Meyer kepada pemberita pada taklimat media.
Sepuluh orang dibawa ke hospital tempatan untuk dirawat kerana mengalami kecederaan dan sekurang-kurangnya seorang dalam keadaan kritikal. Polis tidak menyatakan jenis senjata api yang digunakan dalam serangan itu.
Tembakan berlaku selepas 10 malam (2 petang Ahad waktu Malaysia, 22 Januari, 2023) di sekitar lokasi sambutan Tahun Baharu Cina selama dua hari di mana banyak jalan di pusat bandar ditutup untuk perayaan yang menarik ribuan orang dari seluruh California Selatan.
Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Los Angeles, Chester Chong menyifatkan bandar yang mempunyai kira-kira 60,000 penduduk itu sebagai tempat yang tenang, damai, indah di mana semua orang mengenali dan membantu antara satu sama lain.
Kira-kira 11 kilometer dari pusat Los Angeles, bandar ini selama beberapa dekad menjadi destinasi pendatang dari China. Kira-kira 65 peratus penduduknya adalah Asia, menurut data Banci AS, dan ianya terkenal dengan banyak restoran dan barangan runcit Cina.
“Orang ramai menelefon saya malam tadi, mereka takut ini jenayah kebencian,” kata Chong di tempat kejadian.
Polis tidak menamakan secara terbuka kelab tarian itu, tetapi dilihat keluar masuk dari Studio Tarian Star Ballroom, yang aksesnya telah disekat oleh pita polis.
Kelab ini dibuka pada tahun 1990, dan laman webnya memaparkan banyak gambar perayaan Tahun Baharu Cina yang lalu yang menunjukkan pengunjung tersenyum dan menari dalam pakaian parti di dalam bilik tarian yang besar dan terang benderang.