Kanak-kanak di bawah usia 15 tahun tidak dibenarkan memasuki kawasan Masjid Nabawi sepanjang Ramadan akan datang sebagai langkah pencegahan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Bahagian pengurusan Masjid Nabawi berkata, pelan Ramadan yang dibuat merangkumi pemendekan waktu solat Tarawih kepada setengah berbanding sebelum ini, menutup masjid 30 minit lebih awal setelah solat, dan melarang iktikaf.
Mereka yang ingin berbuka puasa di Masjid Nabawi hanya akan diberi air dan kurma untuk keperluan peribadi sahaja, selain tidak dibenarkan mengadakan perhimpunan.
Mengedar dan membahagi-bahagikan makanan untuk berbuka puasa sebagaimana sering dilakukan sebelum pandemik Covid-19 merebak, juga dilarang.
Sementara itu, sebanyak 590 kes baharu Covid-19 dicatat di negara itu hari ini.
Menurut Kementerian Kesihatan Arab Saudi, kes kumulatif keseluruhan ialah 390,597 orang, dengan 5,452 kes aktif – 699 daripadanya dalam keadaan kritikal.
Sebanyak 238 daripada kes baharu dicatat adalah di Riyadh, Makkah (111), wilayah timur Arab Saudi (84), dan 34 kes di Madinah. – Agensi