Kerajaan bersetuju memperluaskan lagi program imunisasi secara kehadiran terus atau ‘walk-in’ bagi semua individu berusia 18 tahun ke atas yang tidak mendapat janji temu selepas 1 Ogos ini.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan malam ini berkata untuk sementara Inisiatif Vaksinasi Walk-In itu hanya disasarkan kepada penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor berusia 18 tahun ke atas yang tidak mempunyai janji temu selepas 1 Ogos boleh walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk menerima vaksin Covid-19.
“Ini termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan,” kata kenyataan itu sambil menambah PPV yang akan beroperasi bagi tujuan itu akan dimaklumkan kemudian.
CITF sekali lagi mengingatkan bahawa inisiatif itu hanya untuk golongan yang tercicir dan belum mendapat temu janji selepas 1 Ogos, bukannya kepada orang ramai yang sudah diberikan janji temu masing-masing.
Bagi warga Selangor dan Kuala Lumpur yang telah mendaftar sebelum ini, janji temu mereka akan diberi dalam masa terdekat.
“Individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang masih belum mendaftar tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian juga digalakkan untuk mendaftar bagi mendapatkan vasksin,” kata CITF.
Dalam pada itu CITF juga menggesa orang ramai yang telah menerima janji temu masing-masing untuk hadir pada tarikh dan lokasi PPV yang telah diberikan.
“Ini mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas, kes Covid-19 yang tinggi dan keperluan untuk mendapat perlindungan melalui vaksin secepat mungkin,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada orang ramai khususnya golongan dewasa dengan menyasarkan 100 peratus populasi dewasa pada Oktober 2021, setelah mengambil kira ancaman varian baharu yang merebak dengan pantas.
“100 peratus populasi dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin pada bulan Oktober 2021,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan juga akan memastikan peningkatan kapasiti untuk mencapai kadar suntikan 500,000 dos sehari.
Untuk itu, Perdana Menteri berkata kerajaan sudah menempah lebih 76.1 juta dos vaksin, ia terdiri daripada 70 peratus jenis Pfizer, 23.4 peratus jenis Sinovac, 10 peratus Astrazaneca, 10.9 peratus CanSino dan 10 peratus daripada fasiliti Covax.