Dua rakyat Amerika Syarikat (AS) antara 17 individu yang ditahan hari ini susulan pembunuhan Presiden Haiti Jovenel Moise, kata pihak berkuasa negara itu.
Rabu lalu, Moise dibunuh dalam serangan di kediaman peribadinya di Petion-Ville di pinggiran ibu kota Haiti. Penyerang menyerbu rumah Moise sekitar jam 1 pagi dan menembaknya.
Bekas Perdana Menteri Haiti, Laurent Lamothe memaklumkan Moise ditembak sebanyak 16 kali.
Duta Besar Haiti, Edmond berkata wanita pertama Haiti, Martine Moise kini berada di unit rawatan rapi sebuah hospital di Miami, Amerika Syarikat, kerana turut cedera ditembak dalam serangan itu.
Lamothe memberitahu CNN pihak berkuasa Haiti melakukan siasatan antarabangsa terhadap kes pembunuhan itu.
“Presiden mempunyai ramai musuh di dalam negara ketika beliau melakukan banyak pembaharuan di Haiti dan ada pihak yang memberikan tekanan terhadap perubahan yang dilakukan,” katanya.
Menteri Pilihan Raya, Mathias Pierre melaporkan kepada CNN, dua warga AS dikenali sebagai James Solages dan Joseph Vincent didakwa mempunyai kaitan dengan serangan
Dalam sidang media semalam, Ketua Polis Haiti, Leon Charles melaporkan 28 orang disyaki terlibat dalam pembunuhan itu, termasuk 26 rakyat Colombia dan dua daripadaya orang Haiti-Amerika.
Katanya, 17 individu sudah ditangkap dan polis masih memburu lapan lagi.
Semalam, Kementerian Pertahanan Colombia mengesahkan sekurang-kurangnya enam penyerang yang disyaki adalah anggota tenteranya yang telah bersara.
Dalam satu pernyataan video, Menteri Pertahanan Haiti, Diego Molano memaklumkan pihaknya meminta maklumat daripada kerajaan Colombia dan polis mengenai latar belakang penyerang .
“Maklumat awal yang diterima menunjukkan bahawa mereka adalah warganegara Colombia dan merupakan anggota tentera tentera kebangsaan negara itu yang telah bersara,” katanya.
Duta Besar Haiti ke Amerika Syarikat, Bocchit Edmond menggambarkan tindakan yang dilakukan suspek sebagai ‘tentera upahan’ dan mereka mendapat bantuan pegawai Haiti yang membocorkan maklumat.
Edmond berkata daripada video yang diperoleh di tempat kejadian menunjukkan suspek berbahasa Sepanyol dan dikenali sebagai ejen Pentadbiran Dadah dan Penguatkuasaan (DEA) Amerika Syarikat. – Agensi