
Pihak berkuasa kesihatan China telah mengesyorkan beberapa ubat dan ramuan TCM, seperti Lianhua Qingwen, untuk digunakan oleh pesakit Covid-19. Getty image
Pihak berkuasa kesihatan Shanghai mula mengedarkan kepada penduduk berjuta-juta kotak ubat tradisional Cina (TCM), seperti produk herba dan kapsul selesema, yang dikatakan boleh merawat Covid-19 dalam pertempuran untuk mengawal wabak virus terbesarnya.
Pusat komersial China itu, kini di bawah perintah berkurung yang berpanjangan, melaporkan 20,472 jangkitan baharu Covid-19 pada Rabu (6 Apr), termasuk 311 kes bergejala, dalam kalangan populasi lebih 26 juta orang.
“Menghadapi varian Omicron yang sangat mudah berjangkit, kami harus menggunakan rawatan TCM secepat mungkin,” kata Presiden Hospital Shuguang, Fang Min, salah sebuah hospital di bandar itu.
“Bagi orang awam, termasuk kumpulan berisiko tinggi, mengambil rawatan TCM apabila wabak itu meluas mempunyai kesan pencegahan yang baik,” katanya sambil menambah bahawa lebih 21 juta individu telah menerima TCM.
Beberapa penduduk memberitahu mereka telah menerima kotak percuma ubat selesema tLianhua Qingwen daripada jawatankuasa kejiranan dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Individu dijangkiti Covid-19 berkata mereka menerima ubat TCM untuk dilarutkan dalam air panas.
Kira-kira 98 peratus pesakit Covid-19 Shanghai sedang menjalani rawatan TCM, dan pasukan TCM telah pergi ke hospital dan pusat kuarantin yang ditetapkan sejak wabak terbaru bermula pada Mac, kata Fang.
Pihak berkuasa kesihatan China telah mengesyorkan beberapa ubat dan ramuan TCM, seperti Lianhua Qingwen, untuk digunakan oleh pesakit Covid-19, walaupun kekurangan data klinikal yang boleh dipercayai mengehadkan penggunaannya di luar negara.
Singapura, yang mempunyai populasi etnik Cina yang besar, berkata pada November tidak ada bukti saintifik daripada ujian klinikal rawak bahawa mana-mana produk herba, termasuk Lianhua Qingwen, boleh digunakan untuk mencegah atau merawat Covid-19.
Ia menasihatkan penggunaan semua produk herba yang dirumus untuk selesema sahaja untuk menganai gejala seperti sakit kepala, hidung berair atau tersumbat, sakit tekak dan batuk.
Pada 2020, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS), memberi amaran kepada vendor Lianhua Qingwen untuk berhenti menjualnya sebagai rawatan Covid-19.
Pegawai di daerah Hongkou di Shanghai telah mengedarkan 722,000 kotak kapsul Lianhua Qingwen, dan bertujuan memberi semua penduduk ubat TCM seperti herba dan uncang teh, lapor Shanghai Daily.
Shijiazhuang Yiling Pharmaceutical, pembuat Lianhua Qingwen, berkata ujian klinikal pada 2020 menunjukkan bahawa ia boleh, bersama-sama terapi konvensional, melegakan simptom Covid-19 seperti demam dan batuk.
China meluluskan beberapa rawatan termasuk ubat berasaskan antibodi Pfizer Inc Paxlovid dan Brii Biosciences Ltd untuk merawat pesakit Covid-19, tetapi tidak jelas sejauh mana ia digunakan. – Agensi