Oleh Hiekal Rosli
Jurugambar Agenda Daily yang turut serta dalam HM4P
Misi Humanitarian Mission 4 Palestin (HM4P) anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) yang turut disertai wakil Agenda Daily dijangka memasuki wilayah bergolak – Semenanjung Gaza – esok.
Pengerusi BKUM yang mengetuai HM4P Datuk Seri Azeez Rahim berkata misi yang membawa bantuan kepada rakyat Palestin sumbangan rakyat Malaysia, sudah memperoleh kelulusan secara lisan daripada Kerajaan Mesir.
“Kita sedang menanti kelulusan bertulis daripada Kementerian Luar Mesir untuk segera memasuki Semenanjung Gaza,” katanya.
“Ada peraturan-peraturan dan syarat tertentu keselamatan dari kerajaan Mesir yang perlu dipatuhi sebelum dibenar memasuki Semenanjung Gaza,” katanya.
Semua persediaan dan persiapan dari segi bekalan bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan telah diuruskan untuk dibawa masuk ke Semenanjung Gaza.
Mesir sebelum ini dikatakan akan memudahkan laluan ke Semenanjung Gaza menerusi pintu sempadan di Rafah, kepada pertubuhan bukan kerajaan Malaysia, selepas perbincangan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden Mesir Abdel Fatah al-Sisi selain usaha yang digerakkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakat sejawatnya di Kaherah.
Satu-satunya pintu sempadan antara Mesir dan Semenanjung terletak di Rafah yang jaraknya kira-kira 318 kilometer dari Kaherah. Hanya individu yang mendapat kebenaran kerajaan Mesir dibenar memasuki Gaza, sementara barangan mentah yang dibawa dengan lori perlu melalui lintasan sempadan Kerem Shalom yang dikawal pihak berkuasa rejim Zionis Israel.
Misi HM4P yang dijadual selama dua minggu bermula 19 Jun lalu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Semenanjung Gaza yang diserang tentera Israel Mei lalu.
Sebelum ini, anggota HM4P yang berada di Jordan menghulurkan sumbangan rakyat Malaysia sebanyak RM828,000 kepada Tabung al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan bagi membaik pulih, menambah baik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa.
HM4P turun mengunjungi empat kem pelarian di Jordan bagi menyampaikan bantuan makanan dan keperluan asas kepada lebih 1,000 keluarga Palestin.
Penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli turut bergabung dengan 16 anggota misi HM4P untuk sama-sama memasuki Semenanjung Gaza.