Sesiapa yang berada dalam kesusahan perlu dibantu dengan segera tanpa mengira sama ada mereka mengibarkan bendera atau tidak, kata Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata matlamat utama kerajaan adalah membantu semua yang memerlukan bantuan, ia ketika kempen menaikkan bendera putih yang menjadi tumpuan orang ramai hangat diperkatakan.
“Yang penting kita turun, padang tak kisah ada bendera ke tak ada bendera, orang dalam susah kita bantu,” katanya lapor Bernama.
Terdahulu, Zulkifli menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan sempena program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Port Dickson hari ini.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata orang ramai juga boleh meminta bantuan dengan menghubungi talian yang disediakan menerusi laman sesawang atau Facebook agensi di bawah seliaan beliau termasuk Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan YaPEIM.
Beliau berkata setakat ini bantuan bernilai lebih RM700 juta disalurkan kepada orang ramai di seluruh negara melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Pusat Pungutan Zakat dan Jabatan Agama Islam Negeri serta Yadim.
Sementara itu, mengenai prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadah korban bersempena sambutan Aidiladha bulan ini, beliau berkata ia tertakluk kepada Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.
Katanya Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) sebelum ini memutuskan ibadat korban dibenarkan, namun perlu mengikut SOP yang diwartakan Majlis Keselamatan Negara selain nasihat mufti setiap negeri.
Sementara itu di Pasir Mas, Kelantan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Ahmad Fadhil Shaari berpendapat bendera putih adalah lambang isyarat kecemasan yang perlu diberikan perhatian termasuk pihak masjid, jiran tetangga, madrasah dan wakil rakyat kawasan.
“Dalam situasi sekarang mungkin ada orang yang perlukan lampin pakai buang untuk anak-anak dan ada yang perlukan beras, malah ada juga yang perlukan wang bagi membayar sewa rumah,” katanya sambil berharap isu itu tidak terus dipolitikkan.