Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini mengumumkan sekatan aktiviti sosial bermula pada Sabtu dan mempersiapkan polis Indonesia untuk mengawal jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat di republik itu.
Jokowi menggesa supaya orang ramai supaya berdisiplin dan mematuhi sekatan terbaharu ini bagi mengekang penularan virus membunuh tersebut yang semakin tinggi.
“Saya meminta orang ramai untuk berdisiplin dalam mematuhi sekatan ini untuk keselamatan semua orang,” kata beliau.
Bermula Sabtu ini sehingga 20 julai, sekatan darurat untuk semua pulau utama di Indonesia dan pulau pelancongan di Bali diarahkan ditutup untuk sebarang aktiviti sosial.
Katanya lagi, “Kementerian Kesihatan akan terus meningkatkan kapasiti hospital, tempat pengasingan berpusat serta ubat-ubatan, peralatan perubatan dan tangki oksigen”.
Selain itu, Jokowi juga mengumumkan akan mula menggerakkan penjawat awam, doktor dan pekerja penjagaan kesihatan bagi sama-sama melawan jangkitan ini.
Usaha ini dibuat susulan amaran awal daripada Palang Merah yang memberi peringatan Indonesia akan “berdepan bencana Covid-19” dan persediaan perlu dipertingkatkan dari segi perubatan, ujian calitan dan vaksinasi.