PM umum pengecualian visa untuk rakyat China dan India bermula 1 Dis

November 27, 2023 · Isu semasa

Kerajaan memberikan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Dis ini dalam semangat ‘strategic partnership’ hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun pada tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia merupakan tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari Negara Teluk dan lain-lain negara di Asia Barat, lapor Bernama.

Bagaimanapun Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pengecualian visa itu tertakluk kepada tapisan keselamatan.

“Tapisan awal akan dibuat bagi semua pelancong, pelawat ke negara Malaysia. Soal keselamatan itu berasingan, kalau ada rekod jenayah ataupun risiko keganasan maka mereka tidak akan dibenarkan (masuk).

“Ini wewenang pasukan keselamatan dan imigresen,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang dihadiri 1,391 perwakilan dan 1,269 pemerhati di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Kemudahan kemasukan ke Malaysia tanpa visa ini juga turut dinikmati oleh lapan negara ASEAN lain, yang membenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.

Beliau berkata kemudahan tambahan lain berkaitaan visa itu dijangka diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Perdana Menteri juga merakamkan ucapan terima kasih kepada China yang melaksanakan dasar pengecualian visa sepihak bagi pemegang pasport biasa dari Malaysia mulai 1 Dis ini hingga 30 November 2024.

Sementara itu Anwar yang juga Presiden PKR meminta semua pihak termasuk pembangkang agar tidak memperlekehkan hubungan antarabangsa kerana ia signifikan dalam meningkatkan hubungan strategik dan faedah langsung kepada negara dan rakyat.

Beliau menjelaskan perjalanan (beliau) ke negara luar bukan membazir, malah 90 peratus lawatan disifatkan ‘mesti ditunaikan’ oleh kerajaan seperti Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

“Setiap perhimpunan ini (ketika lawatan kerja dan lawatan rasmi ke luar negara), kita gerakkan banyak usaha, yang dimulakan Kementerian Luar serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menghubungi syarikat-syarikat dan membawa pulang pelaburan,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata hubungan Malaysia dengan Singapura ditingkatkan dengan membenamkan sentimen serta prasangka lama, dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan sangat positif ketika pertemuan Perdana Menteri dengan rakan sejawatannya dari negara itu Lee Hsien Loong.

“Saya menerima perakuan beliau (Lee Hsien Loong), semua hal-hal yang terbantut sama ada soal air, ruang udara atau soal sempadan, kita sudah tunggu berpuluh tahun, harus ada tekad politik untuk selesaikan, dan beri keuntungan kepada kedua-dua negara,” katanya.

Seterusnya Anwar berkata beliau akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Thailand Srettha Thavisin esok di Sadao, Wilayah Songkhla dalam memastikan perjalanan dua hala rakyat antara kedua-dua negara itu baik dan cekap, selain menggalakkan pelancong dua hala.

Katanya kedua-dua pemimpin bertekad untuk memastikan pembangunan pesat di kawasan utara Semenanjung dan selatan Thailand khususnya di empat wilayahnya, bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan keamanan serta kedamaian adil bagi Thailand.

Anwar juga memberitahu kerajaan akan mengambil langkah-langkah segera untuk membaiki kemudahan pengangkutan awam dan lapangan terbang di seluruh negara dalam usaha membawa lebih ramai pelancong luar ke Malaysia.

Berita berkaitan
Sekarang siapa jadi kerajaan, Muhyiddin kritik isu kejatuhan ringgit
February 24, 2024· Isu semasa
Isu RM750 juta, PAS minta PMX beri penjelasan jangan melulu buat tuduhan
January 10, 2024· Politik
PN tiada dana untuk mulakan langkah tukar kerajaan, kata Hadi
January 5, 2024· Politik
Dengar cerita warga China sertai MM2H layak dapat PR, dakwa MP Masjid Tanah
December 16, 2023· Politik
Popular
PM puas hati kerja Azam Baki, tidak pilih puak
May 15, 2023
Bajet 2024: Cukai perkhidmatan naik jadi 8%, subsidi minyak diesel dimansuhkan
October 13, 2023
Kementerian Kesihatan haramkan dua produk kosmetik berbahaya
April 6, 2021
KDN haramkan ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ sejajar undang-undang
May 18, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rosmah disaman 1MDB AS$346 juta, tuntut pulangkan barang mewah
13 minit lalu · Isu semasa
Dulu kempen tangkap, sekarang kerajaan Anwar sambung kontrak Azam
25 minit lalu · Isu semasa
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024 · Isu semasa
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok