Kementerian Kesihatan haramkan dua produk kosmetik berbahaya

Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan menasihati orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan dua produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual.

Dalam kenyataan media, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua produk berkenaan adalah Beautywise Rejuvenating Cream dan Beautywise Rejuvenating Toner.

Kedua-dua produk berkenaan katanya, mengandungi Hydroquinone dan Tretinoin iaitu ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan. Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya.

Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Katanya, penjual dan pengedar perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut serta-merta, bagi mengelak tindakan pihak berkuasa.