Pihak paling berkuasa negara arah SPRM dakwa saya di mahkamah: Muhyiddin

March 9, 2023 · Politik

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sekali lagi menegaskan beliau tidak melanggar undang-undang ketika menjadi Perdana Menteri, hari ini (Khamis, 9 Mac 2023) mendedahkan pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa beliau di mahkamah.

Bekas Perdana Menteri kelapan itu juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi Kementerian Kewangan supaya meluluskan projek tertentu, termasuk rayuan daripada ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari.

Menurutnya beliau datang ke Ibu Pejabat SPRM pagi tadi tanpa paksaan bagi membolehkan agensi antirasuah itu merakam percakapan tambahannya berkaitan dua isu iaitu projek Jana Wibawa dan rayuan oleh Syed Mokhtar.

“Saya hadir tanpa paksaan untuk membantu siasatan walaupun pada saya ini satu penindasan politik dan penganiayaan terhadap saya dan Bersatu.

“Saya telah jelaskan semua ini kepada pegawai penyiasat SPRM. Dalam keadaan biasa, tiada asas untuk mendakwa saya di bawah mana-mana undang-undang.

“Tetapi telah ada arahan daripada pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara supaya saya didakwa.

“Jadi, walau apapun penjelasan yang saya berikan, saya tetap akan didakwa,” katanya kepada media di luar Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, selepas dibebaskan dengan jaminan, malam tadi.

Terdahulu, Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM jam 11.15 pagi tadi bagi memberi keterangan kepada SPRM.

Kehadiran Muhyiddin bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serta pemimpin kanan PN dan penyokong diiringi laungan ‘HIDUP RAKYAT’ sebagai slogan rakyat menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Kerajaan PH-BN yang dianggotai PKR, DAP, AMANAH, UPKO, UMNO, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain, termasuk Bebas.

SPRM kemudian mengumumkan Muhyiddin ditahan dan akan didakwa di mahkamah esok (Jumaat, 10 Mac 2023).

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu serta Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata dalam siasatan itu SPRM membangkitkan mengenai projek Jana Wibawa, serta rayuan pembatalan cukai oleh Syed Mokhtar.

Katanya, Jana Wibawa adalah projek semasa pandemik Covid-19 untuk membangunkan semula ekonomi negara khususnya bagi menyelamatkan kontraktor Bumiputera yang akan jatuh bankrap, tetapi sedihnya ini dijadikan modal politik seolah-olah ini satu skim untuk mencuri wang negara.

“Itulah sebabnya jumlah yang dituduh berubah-ubah dari RM600B ke RM530B kemudian turun mendadak ke RM92.5B, turun lagi ke RM4.5B dan akhirnya RM300juta. Menggunakan fitnah ini, SPRM membekukan akaun bank Bersatu untuk menghancurkan Bersatu.

“Inilah jahatnya fitnah.

“SPRM seharusnya mengetahui dari semua keterangan yang diambil bahawa tidak berlaku sebarang salah guna kuasa atau perbuatan merasuah. Amatlah malang jika wang dalam akaun Bersatu yg merupakan dana politik dianggap sebagai suapan,” katanya lagi.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen agoh berkata daripada dua perkara itu, SPRM telah mengembangkannya menjadi tujuh pertuduhan ke atas beliau bertujuan untuk memalukannya dengan mengheret beliau ke mahkamah esok.

Katanya pendakwaan terpilih ke atas beliau adalah satu tindakan politik berniat jahat yang dilakukan oleh PH dan BN, semata-mata untuk melumpuhkan dan menghancurkan Bersatu dan PN.

“Anwar Ibrahim tahu bahawa Perikatan Nasional mendapat sokongan padu daripada rakyat terutamanya orang Melayu dan Bumiputera dan akan menang besar dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Saya yakin dan percaya, dengan izin Allah s.w.t. jua, Anwar, Pakatan Harapan dan parti-parti yang bersekongkol dengannya, akan dihukum oleh rakyat dalam pilihanraya.

“Saya menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan saya akan jawab segala pertuduhan terhadap saya di mahkamah,” katanya.

Kenyataan media Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas soal siasat SPRM 9 Mac 2023

 

Berita berkaitan
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024· Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Popular
2/3 kerusi ketua cabang di Selangor dikuasai #KitaSemuaKEADILAN
May 29, 2022
Naik sedikit gaji penjawat awam pada Oktober, kata PMX
August 11, 2023
Gelombang sokongan rakyat terhadap PN luar biasa
November 16, 2022
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024
Lagi Politik terkini
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
April 27, 2024 · Politik
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024 · Politik
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024 · Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024 · Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok