Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada sumbangan dana politik yang dimasukkan ke dalam akaun parti atau akaun peribadi beliau setakat ini.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada sumbangan politik yang dimasukkan ke dalam akaun mana-mana pegawainya atau kakitangan Bersatu serta mana-mana pertubuhan yang beliau atau parti mempunyai kepentingan.
“Tidak ada sumbangan dana politik dimasukkan ke dalam akaun peribadi saya ataupun pegawai-pegawai dalam parti saya ataupun mana-mana organisasi yang mempunyai kepentingan… di mana saya mempunyai kepentingan atau yang saya taja dan sebagainya. Langsung tak ada.
“Dan saya tahu bahawa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah pergi untuk membuat siasatan kepada badan-badan seperti itu, termasuklah parti Bersatu bahagian… tak ada kat sini (Bersatu pusat)… dia pergi ke sana (bahagian.
“(Tapi)… itu tugas dialah. Tak apalah. Saya ingin menegaskan ini juga telah pun disemak oleh pihak SPRM… saya percaya. Siasatan ke atas penyata akaun Bersatu akan mendapati tidak ada wang berbilion ringgit dalam akaun parti.
“Kalau ada itu pelik jugalah kaya rayalah kita… tak ada. Itu telah pun diselesaikan. Malahan kita telah pun menyerahkan juga beberapa akaun yang telah dibuat. Yang telah pun dibentangkan dalam perhimpunan agung parti kita iaitu akaun 2020 sebab dan penyertaan oleh tidak ada apa-apa perkara luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Pemukiman Ahli Parlimen PN di ibu negara, hari ini (2 Februari 2023).
Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata parti itu juga telah menghantar surat kepada SPRM bagi membatalkan akaun parti yang dibekukan itu.
Beliau berkata surat itu juga meminta pembatalan pembekuan dibuat sebaik siasatan SPRM ke atas akaun parti diselesaikan.
“Saya yakin bahawa keluar masuk wang dalam akaun Bersatu adalah teratur dan dari sumber yang sah di sisi undang-undang. Dan justeru, Bersatu telah pun menulis ataupun kita hantar surat hari ini kepada pihak SPRM supaya perintah pembekuan akaun Bersatu ini dapat dibatalkan.
“Pembatalan pembekuan akaun parti penting walaupun dinyatakan akaun dibekukan untuk tempoh tiga bulan, kerana kita akan membayar gaji pekerja.
“Sebagai parti politik yang penting, jika tiada wang bagaimana kami dapat meneruskan kerja politik terutama membayar sewa pejabat, gaji kakitangan dan perkara berkaitan pengurusan parti.
“Ini juga menjejaskan kelancaran PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi kerana Bersatu adalah sebuah parti yang penting dalam gabungan itu,” katanya.