Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini (Sabtu, 19 November 2022), menafikan dakwaan bahawa beliau menghubungi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi, kononnya supaya bersiap sedia membentuk kerajaan.
Acryl Sani berkata, dakwaan berkenaan tidak benar.
“Saya tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan berhubung ucapannya yang menyebut Ketua Polis Negara menghubunginya.
“Mungkin beliau (Anwar) tersilap kata dalam keghairahan berceramah dan berkempen,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini, menurut BH.
Ini susulan dakwaan Anwar yang menyatakan Pakatan Harapan (PH) dikatakan mampu memenangi 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Ketua Polis Negara sudah menghubunginya dan memintanya untuk bersedia.
Sebelum ini, tular satu video ucapan Anwar ketika berkempen menyatakan Ketua Polis Negara, memintanya bersedia yang berkemungkinan bakal membentuk kerajaan selepas PH dijangka memperoleh 112 kerusi Parlimen dalam PRU15.
Terdahulu, Acryl Sani meninjau beberapa pusat pengundian di sekitar ibu negara sempena PRU-15 bagi melihat kelancaran proses mengundi.
Beliau memulakan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Amanpuri, Kepong, kira-kira 10 pagi dengan diiringi Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Ku Mashariman Ku Mahmood bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar mengikut peruntukan undang-undang.
Acryl Sani kemudian melawat beberapa lagi pusat mengundi antaranya SK Setapak Indah dan SK Sungai Kertas.