Sebanyak RM300,000 lebih berjaya dikutip daripada orang ramai bagi membayar ganti rugi yang ditanggung Datuk Seri Jamal Mohd Yunos terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu sebelum ini kalah dalam kes saman fitnah difailkan Kok dan diarah membayar ganti rugi RM300,000 dengan kos guaman RM50,000.
Untuk rekod, Kutipan dana itu dilancarkan oleh sebuah kumpulan bernama Gabungan Solidariti Anak Selangor (GSAS), semalam.
Ketuanya, Faizal Zakari berkata kumpulan itu telah mengumpul RM200,000 pada hari pelancaran, dan memberitahu Malay Mail bahawa jumlah itu adalah sekitar RM300,000 setakat hari ini.
Jamal sebelum ini diancam bakal diambil tindakan kebankrapan kerana masih belum membayar ganti rugi tersebut dua minggu lalu.
Kok telah menyaman Jamal berhubung ucapannya pada 2017 yang menuduh ahli parlimen DAP itu menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Selain itu, pemimpin UMNO Selangor itu juga berhutang RM150,000 sebagai ganti rugi dan sekurang-kurangnya RM30,000 sebagai kos kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.
Maria menyaman Jamal kerana mengaitkan dia dan Bersih dengan kumpulan pengganas Daesh.
Kutipan dana untuk Jamal telah mendorong beberapa pengkritik untuk mempersoalkan mengapa Jamal memerlukan kutipan dana sedangkan anaknya menjalani gaya hidup yang didakwa mewah.
Menjawab perkara itu, Jamal berkata kutipan derma oleh GSAS tidak ada kaitan dengan keluarga atau kestabilan kewangannya.
“Tetapi jika kumpulan seperti GSAS bersedia untukbuat kutipan dana dan membantu saya, mengapa saya harus menolak?” katanya.