“Jangan mudah terpesona dengan gambar profil cantik atau tampan digunakan di media sosial dan jangan mudah terpedaya dengan kata manis atau janji mereka.”
Itu pesan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, bagi yang suka sangat mencari pasangan orang asing untuk bercinta. Macam lah kat Malaysia kita ini dah tidak ada lagi wanita cantik dan jejaka tampan.
Tapi bila Zainuddin peringatkan dengan kata-kata “…jangan mudah terpedaya dengan kata manis dan janji mereka”, terus teringat rakan-rakan masa muda-muda dulu.
‘Kata dan janji manis’ masa Tok Akhi muda-muda dulu disebut ‘ayat power’ yang digunakan untuk memikat gadis-gadis yang susah didekati – sekadar untuk berkenalan, tapi kadang-kadang sebagai menyahut cabaran rakan-rakan.
Kadang-kadang gadis-gadis seperti ini nampak luarannya agak tegas, takut orang hendak dekati. Tapi sebenarnya ‘dalam hati ada taman’. Sebab itu bila kena ‘ayat power’ terus boleh diajak berbual dan jalan-jalan.
Rupanya ‘ayat power’ ini masih berlaku sehingga sekarang, terutama membabitkan lelaki asing dan wanita tempatan kita.
Sebab itu, kajian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati trend kes penipuan cinta atau ‘Love Scam’ menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Sebagaimana didedahkan Zainuddin bahawa 1,535 kes penipuan Love Scam dilaporkan pada tahun 2019 membabitkan kerugian RM79.11 juta dan pada tahun berikutnya kes meningkat kepada 1,582 dan kerugian mencecah RM58.33 juta.
“Untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 549 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM20.58 juta,” kata Zainuddin sambil menegaskan walaupun PDRM berusaha menangani kes berkenaan dengan serius, tetapi komitmen masyarakat juga amat diperlukan.
Tok Akhi pun hairan juga kerana media sering melaporkan kes Love Scam ini, tapi mangsa semakin bertambah dan jumlah kerugian pula sehingga jutaan ringgit. Di mana silapnya sistem sosial kita hingga ramai yang terpengaruh hanya dengan ‘ayat power’ dan janji manis si dahi licin dan si hidung belang?
Nak kata pihak berkuasa tidak bertindak tak boleh sebab sebagaimana diterangkan Zainuddin bahawa sejak tahun 2019 hingga Mac 2021, sebanyak 2,251 operasi dilakukan dan daripada jumlah itu, 2,826 orang ditahan.
Mungkin juga kita kena minta kerjasama mangsa menceritakan kisah awal sehingga mereka terpedaya dengan ‘ayat power’ si cantik dan si tampan. Bukan apa, ini boleh membantu orang lain daripada tersangkut dengan ‘Love Scam’.
Apapun, Zainuddin terus menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan nombor akaun bank atau identiti diri dan keluarga kepada mana-mana individu tidak dikenali atau baru dikenali di internet.
“Selain itu, perlu berhati-hati memilih rakan melalui media sosial atau alam maya terutamanya yang kononnya berasal dari luar negara.
“Jangan sewenang-wenangnya memberi pinjaman atau memasukkan wang ke akaun peribadi individu tidak dikenali sekiranya diminta kenalan laman sosial melalui telefon, SMS dan e-mel,” pesan Zainuddin.
Sekiranya ada keperluan untuk membuat transaksi, buat semakan terlebih dulu di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Semak Mule CCID’.
Beliau turut meminta orang ramai menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 untuk menyalurkan sebarang maklumat atau mempunyai sebarang keraguan berkaitan jenayah komersial.
Zainuddin menjelaskan penipuan cinta atau Love Scam adalah modus operandi yang kerap digunakan sindiket penipuan didalangi warga Afrika untuk memperdaya mangsa berbanding sindiket penipuan lain.
Tok Akhi buat kesimpulan – rupa-rupanya ‘ayat’ dari Afrika lagi ‘power’ daripada kita hingga boleh dapat jutaan ringgit. Hati-hati dengan ‘ayat power’ ini.
Tok Akhi
Shah Alam