Nampaknya ‘salakan amarah’ seperti yang ditulis Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ditujukan kepada Bersatu serta kerajaan Perikatan Nasional (PN), sudah berpatah balik kepada dirinya sendiri.
Ungkapan kata-kata Imam Syafie yang dipetik bagi menunjukkan beliau seorang yang banyak bersabar daripada menjawab apa yang didakwanya sebagai cercaan, hanya mainannya sahaja.
“Katakanlah apa yang kamu inginkan dalam mencela maruahku, maka diamku dari cercaan itu adalah satu jawapan… Bukanlah aku tidak memiliki jawapan, Akan tetapi apakah singa perlu melayan salakan anjing?”.
Itu kata-kata Imam Syafie yang dipetik Zahid dan dimuat naik di laman Facebook beliau pada 21 April lalu. Ia seolah-olah ingin menggambarkan dirinya tidak perlu menjawab apa-apa cercaan orang ramai terhadap dirinya.
Zahid juga menggambarkan beliau mempunyai jawapan terhadap tuduhan dan cercaan itu, tetapi tidak mahu menjawab kerana kedudukannya lebih besar.
Sebaliknya beliau menyifatkan pihak yang mencerca itu seperti seekor anjing berbanding dirinya yang digambarkan sebagai singa.
Itulah ‘lakonan’ yang cuba ditunjukkan kepada orang ramai, sedang sebenarnya amat berbeza dari segi realiti apabila beliau pula lebih banyak berkata-kata mencela maruah orang lain atau memburuk-burukkan kerajaan sedia ada.
Sekadar kata-kata sahaja bagi menunjukkan beliau tidak mahu melakukan ‘dosa membawang’ sepanjang Ramadan ini, hakikatnya bertubi-tubi serangan dibuat kepada individu dan kerajaan, seolah-olah pada masa pentadbiran beliau bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semuanya terbaik dan ‘bersih’.
Seolah-olah ketika mereka berdua menerajui pentadbiran Malaysia, semua perbelanjaan kerajaan dibuat dengan betul. Tidak ada sesen pun wang kerajaan, wang rakyat yang masuk ke poket mereka. Benarkah begitu? Tepuk dada tanya hakim.
Sekarang ini, boleh dikatakan setiap hari kiriman-kiriman dalam Facebook Zahid hanyalah ‘mainan kata” dan ‘salakan amarah’ kepada kerajaan PN dan Bersatu.
Pelbagai tuduhan dilemparkan daripada sebesar-besarnya hinggalah kepada saman dan kompaun yang dikeluarkan oleh kakitangan kesihatan kepada penjual buger pun yang disalahkan ialah kerajaan PN.
Kerajaan sekarang ini hanya diam sahaja terhadap ‘celaan-celaan’ yang dilemparkan Zahid, walaupun kerajaan mempunyai jawapannya.
“Bukanlah kerajaan tidak mempunyai jawapan, akan tetapi apakah singa perlu melayan salakan anjing?” Nah! siapa yag singa dan siapa pula yang anjing sekarang ini.
Hakikatnya, itulah wajah sebenar Zahid yang Tok Akhi kenali sejak beliau menjadi Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO. Tok Akhi diperkenalkan kepada Zahid oleh seorang rakan wartawan, Allahyarham Hambali Latiff.
Siapa yang tidak tahu sejarah tikam belakang Tan Sri Rahim Tamby Chik yang ketika itu menjadi Ketua Pemuda UMNO yang akhirnya kalah kepada Zahid pada pemilihan 9 Oktober 1996.
Perlu diketahui, Zahid menang jawatan itu tiga tahun setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim menang jawatan Timbalan Presiden UMNO sekali gus diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Tok Akhi
Shah Alam