Turki akan melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya mulai petang Khamis hingga 17 Mei untuk membendung penyebaran Covid-19, umum Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Bercakap kepada pemberita selepas tiga jam mesyuarat Kabinet di Ankara beliau berkata, semua pejabat ditutup dan kakitangan akan bekerja dari rumah sepanjang tempoh itu, kecuali mereka yang dibenarkan Kementerian Dalam Negeri.
Langkah terbaharu itu merangkumi tempoh sepanjang Ramadan dan tiga hari perayaan Aidilfitri.
“Pada ketika Eropah memasuki fasa pembukaan semula, kita mesti mengurangkan jumlah kes Covid-19 dengan cepat hingga kurang daripada 5,000.
“Jika tidak kita akan menghadapi akibat dan kesan pandemik dalam setiap bidang dari pelancongan hingga perdagangan dan pendidikan,” katanya.
Katanya, restoran dan kafe hanya boleh menawarkan perkhidmatan penghantaran, sementara pusat beli-belah pula akan ditutup pada setiap Ahad.
Pergerakan rentas bandar pula akan tertakluk kepada kebenaran, sementara hanya 50 peratus pengangkutan awam akan beroperasi, katanya.
Kementerian Kesihatan Turki sebelum itu mengumumkan sebanyak 37,312 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu. – Agensi