Selepas tol percuma di lebuh raya bakal ada pilihan raya?

April 27, 2022 · Isu semasa

Kerajaan mengumumkan tol percuma disamping diskaun kepada pengguna lebuh raya yang akan pulang berhari raya ke kampung halaman, ia beberapa hari selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mula mengkreditkan permohonan pengeluaran wang yang dibuat para pencarum.

Terdahulu, UMNO juga sudah mengumumkan calon Perdana Menteri (PM) yang akan dilantik selepas menang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Beberapa siri pengumuman penting yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehinggalah keputusan memberi tol percuma pada 30 April ini, ia seakan sudah melengkapkan tanda-tanda besar tidak lama lagi Parlimen bakal dibubarkan untuk memberi laluan PRU-15 diadakan.

Malahan, isyarat paling jelas PRU semakin hampir yang diberikan adalah semasa UMNO membuat keputusan menolak penyambungan memorandum persefahaman (MoU) dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menyokong Ismail Sabri.

Lantaran itu, Ismail Sabri sejak daripada pengumuman selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sehingga hari ini tidak memberi sebarang komitmen tanda-tanda ke arah langkah untuk menyambung MoU tersebut.

Beberapa perkara penting dan rentetan peristiwa yang diumumkan kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung sudah boleh dibaca oleh pemerhati politik PRU-15 terlalu hampir dan tidak mustahil Parlimen boleh dibubarkan selepas Aidilfitri.

Untuk rekod, MoU antara kerajaan dengan PH bakal berakhir pada 31 Julai dan kedudukan Ismail Sabri pastinya tergugat sekiranya tidak disambung MoU tersebut memandangkan majoriti tipis dimiliki sebelah blok kerajaan.

Pengumuman UMNO mencalonkan Ismail Sabri pastinya melegakan Naib Presiden UMNO itu, sekurang-kurangnya jawatan nombor satu negara itu kekal menjadi miliknya jika kemenangan memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas PRU-15.

Rafizi Ramli, calon Timbalan Presiden PKR antara terawal yang membuat cadangan PRU-15 diadakan selewat-lewatnya pada akhir Julai jika beliau berada dalam UMNO.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu seakan dapat menghidu strategi UMNO yang berhasrat untuk mengadakan PRU-15 lebih awal sekurang-kurangnya dalam tempoh empat bulan dari sekarang.

“Empat bulan adalah masa yang singkat (dari sekarang). Dan saya tidak terkejut jika ia diadakan pada bulan Ogos atau September.

“Jika saya dalam UMNO, saya akan menggesa pilihan raya umum diadakan pada akhir Julai,” katanya dipetik dalam laporan media sebelum ini.

Malahan, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berulang kali secara konsisten mengeluarkan kenyataan terbuka menggesa PRU-15 diawalkan dengan segera sejak Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berlangsung pada Mac lalu.

Sejak Mac lalu sehingga dalam Mesyuarat MT baru-baru ini, nada yang dipamerkan UMNO adalah membayangkan PRU-15 akan diadakan dengan sangat awal.

Sifir mudah bagi UMNO untuk mengadakan PRU dengan segera adalah kemenangan mutlak akan memihak kepada mereka dan kembali menjadi dominan semula, dua keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor menjadi bukti yang rakyat kini sudah menyokong mereka.

Faktor peratusan pengundi yang rendah dan juga perpecahan disebelah pihak lawan akan memberi kelebihan besar kepada UMNO-BN, sekiranya senario sama berulang maka kemenangan yang besar akan memihak kepada mereka.

Ketika parti lawan masih mencari-cari titik pertemuan yang dilihat sukar, pastinya UMNO-BN tidak mahu menunggu lebih lama kerana jika lebih lama ditunggu berkemungkinan pihak lawan yang sudah lemah akan kembali kuat.

Pihak lawan masih dengan ego masing-masing, perebutan calon bagi jawatan PM masih berterusan dan setakat ini tidak ada nampak individu yang akan diketengahkan sebagai calon untuk menyaingi Ismail Sabri.

Jika sebelum ini UMNO yang dilihat tidak mempunyai calon PM, namun akhirnya mereka kini sudah mempunyai seorang calon untuk diletak sebagai ‘poster boy’ dan ia sekurang-kurangnya meredakan perpecahan dalaman parti.

Penganalisis politik dan geostrategis, Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata UMNO tidak boleh menunjukkan terlalu taksub untuk mengadakan PRU-15 lebih awal dan langkah berhati-hati perlu diambil bagi mengelak persepsi rakyat daripada melihat UMNO terlalu gelojoh.

“Jadi inilah pertimbangan yang perlu diambil kira bukan sahaja oleh Perdana Menteri, malah MT UMNO itu sendiri dalam mendesak Perdana Menteri.

“Justeru, saya menjangkakan kemungkinan besar PRU-15 itu akan diadakan tahun ini juga,” katanya dipetik laporan sebelum ini.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata sekiranya PRU-15 diadakan selepas Julai sekurang-kurangnya kerajaan yang baharu nanti mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan Bajet dan faktor tersebut pasti diambil kira dalam menentukan masa yang sesuai Parlimen dibubarkan.

“Seiring dengan kerajaan yang kukuh, isu persepsi seperti rasuah juga perlu ditangani. Jika buat pilihan raya dan membentuk kerajaan yang kuat, namun isu persepsi rasuah gagal ditangani, belum tentu pelabur akan yakin untuk melabur di negara kita.

“Bagaimanapun, andai kata PRU-15 diadakan selepas Julai nanti, bagi saya masih sempat untuk kerajaan merangka belanjawan tahun depan dan sebagainya,” katanya dipetik laporan media.

Lantaran itu, rakyat selepas menyambut hari raya pada Mei nanti juga perlu bersiap-sedia untuk menghadapi satu lagi raya iaitu pilihan raya, namun bersediakah rakyat untuk pulang ke kampung sekali lagi bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi nanti?

Berita berkaitan
Anwar patut jawab kejatuhan ringgit bukan orang lain, kata Ahli Parlimen
March 5, 2024· Politik
Dewan Rakyat: Usul gantung Wan Saiful ditarik balik
March 5, 2024· Politik
Sekarang rakyat cakap balik kepada Tambun, ‘Hang yang tak reti jaga negeri’
March 5, 2024· Politik
Kementerian nafi SKMM digunakan untuk sekat kebebasan media
November 27, 2023· Isu semasa
Popular
Jalan tertinggi di Malaysia dibuka
January 14, 2022
Semua pihak perlu peka isu buli
November 6, 2021
Selepas Najib, bayaran penasihat pentadbiran Ismail Sabri kedua tertinggi
December 13, 2021
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024 · Isu semasa
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok