Model Palestin-Amerika Bella Hadid menggunakan suaranya untuk membela rakyat Palestin pada masa lalu dan dia baru-baru ini mengingatkan pengikutnya – terutamanya pemilik akaun Instagram – bahawa dia akan terus menentang keganasan tidak kira bagaimana perkhidmatan rangkaian sosial cuba untuk “menapis” dan mengharamkannya.
Hadid menyiarkan beberapa siri video kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin oleh tentera rejim Zionis Israel dan menggesa pengikutnya untuk “menonton setiap daripada kejadian itu.”
Dia kemudian mengemukakan soalan: “Siapakah antara mereka yang mencetuskan serangan seperti ini?” Tujuannya adalah untuk membuktikan bahawa orang yang tidak bersalah sedang “dizalimi atas sebab yang sama sekali sifar.”
“Jika anda benar-benar ingin menutup mulut saya – sama seperti wartawan – atau benar-benar sesiapa yang cuba menyatakan mengenai Palestin, Instagram, saya akan terus tampil dengan aman, menunjukkan maklumat dan fakta tentang bagaimana Pasukan Pertahanan Israel (IDF), kerajaan Israel dan pendatang (Yahudi) menyerang rakyat Palestin yang tidak berdosa tanpa sebab kecuali hanya menjadi warga Palestin,” tulis model itu dalam hantaran terbaharu di Instagramnya.
Dia mengistilahkan sebagai “pelanggaran hak asasi manusia” dan berkata jika perkhidmatan rangkaian sosial terus menapis orang ramai yang ‘meninggikan’ suara mereka untuk Palestin, ia akan menjadi “isu berat sebelah terbesar dan penapisan yang tidak adil.”
Model itu mengingatkan pengikutnya bahawa semua ini adalah nyata dan mempunyai akibat yang nyata.
“Saya di sini bukan untuk mengada-adakan perkara ini. Percayalah, saya tidak perlu menyiarkan keganasan seperti ini. Ini bukan pelakon. Ini adalah askar IDF sebenar dan rakyat Palestin sebenar dengan nyawa, keluarga, pekerjaan, sejarah dan jiwa,” katanya.
“Jika anda mahu saya berhenti bercakap, mereka harus berhenti membunuh.”
Hadid menyebut bahawa alasan untuk serangan tanpa provokasi yang sering dia dengar adalah bahawa rakyat Palestin “memintanya” atau bahawa “mereka mempunyai pisau.”
Dia menafikan tuduhan itu sambil menyatakan rakyat Palestin sebagai warga yang aman. “Sama sekali tidak. Seperti yang anda lihat di sini, mereka adalah orang yang hidup aman, kebanyakan masa bersama anak-anak mereka, berdoa atau hanya … hidup.”
Katanya mungkin terdapat pelampau di kedua-dua belah pihak, seperti di mana-mana bahagian dunia, tetapi itu tidak wajar memfitnah seluruh penduduk Palestin.
“Saya tidak akan terus duduk di sini dan rakyat Palestin difitnah seolah-olah mereka sentiasa melakukan sesuatu yang salah sehingga menerima penderaan seperti ini,” tambahnya dengan tegas.
“Benar-benar penderaan tanpa provokasi. Di rumah mereka dan di tanah mereka yang mereka diami selama ratusan tahun. Lebih-lebih lagi sekarang, semasa bulan Ramadan yang mulia.”
“Ini bukan provokasi,” jelasnya yang memuat naik beberapa klip video mengenai tindakan askar rejim Zionis Israel memukul dan menembak rakyat Palestin sewenang-wenangnya. Klip video terbaharu dikongsinya mendapat lebih 1.88 juga tanda suka.
Hadid juga telah menyiarkan tentang larangan Instagram terhadap ceritanya, bersikap terbuka dengan pengikutnya tentang bagaimana dia ditapis kerana kandungannya yang pro-Palestin.
Model itu lantang mengenai hak rakyat Palestin, diskriminasi terhadap Muslim berhijab dan kejahilan dunia terhadap keganasan di negara Islam.
Pendiriannya telah menyebabkan beberapa syarikat jenama mahal membatalkan tawaran untuknya dan dia juga telah menjadi sasaran peribadi oleh kerajaan Israel, dengan memutar belit kata-katanya sebagai “antisemitik.”