Pasukan penyelamat Indonesia pada Khamis meningkatkan pencarian kapal selam Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI-AL) bersama 53 kru yang hilang lebih 24 jam lalu, tatkala pakar menyatakan kemungkinan berlaku bencana maritim.
Jurucakap TNI-AL memaklumkan mereka sudah tidak dapat mengesan apa-apa isyarat dari kapal selam itu, selepas pasukan pencari menemukan tumpahan minyak di lokasi selaman.
Pada Rabu, kapal selam berusia 44 tahun, KRI Nanggala-402, sedang mengadakan latihan menembak torpedo di utara Pulau Bali, tetapi kemudian gagal menghantar maklumat dan keputusan ujian pada tempoh ditetapkan.
Pencarian menggunakan pesawat udara menemukan tumpahan minyak dekat lokasi kapal selam menyelam dan dua kapal tentera laut dengan kemampuan sonar dikerahkan untuk membantu pencarian, kata jurucakap itu.
Ditanya mengenai laporan pergerakan yang dikesan di bawah air, jurucakap itu berkata, berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini kapal selam yang hilang belum dapat dilihat atau didengar melalui sonar.
Terdahulu jurucakap itu memberitahu KompasTV bahawa kapal selam berkuasa diesel yang menggunakan bateri elektrik ketika menyelam dapat menahan tekanan antara 250 hingga 500 meter.
“Jika lebih daripada itu akan membawa maut, berbahaya,” katanya.
KRI Nanggala-402 seberat 1,395 tan dibina di Jerman pada 1977, dan menyertai armada tentera Indonesia pada 1981. Ia menjalani proses baik pulih di Korea Selatan selama dua tahun dan siap pada 2012. – Agensi