Pemulihan yang kukuh pada 2021 dari 2020 mencerminkan keyakinan pengguna dan pasaran hartanah yang lebih baik bagi tahun ini, kata Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).
Presiden MIEA Chan Ai Cheng berkata yang lebih penting, orang ramai perlu mengambil serius bahawa indeks harga rumah telah menyaksikan peningkatan ketara kepada RM320,000 berbanding RM295,000 pada 2020.
Menurut laporan pasaran hartanah MIEA yang terkini, jumlah urus niaga untuk 2021 naik 1.5 peratus kepada 300,497 unit dengan nilai RM144.87 bilion, menokok 21.7 peratus dalam tempoh yang sama berbanding tahun sebelumnya, lapor Bernama.
“Peningkatan peratusan mungkin kelihatan kecil tetapi ia menandakan pemulihan.
“Suku terakhir 2021 telah meyaksikan penambahan yang mencetuskan jumlah transaksi sebanyak 99,462 unit, yang kami percaya mungkin sebahagian besarnya disumbangkan oleh insentif Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berakhir pada Disember 2021,” katanya.
Seperti pada tahun-tahun sebelumnya, Chan menjelaskan sektor kediaman adalah yang paling mantap, menyumbang 66.2 peratus dengan 198,812 transaksi bernilai RM76.9 bilion, manakala sektor pertanian mencatatkan 18.9 peratus dan sektor komersial menyumbang 7.5 peratus.
Negari-negeri berikut menyumbang lebih daripada 50 peratus jumlah urus niaga, iaitu Selangor (61,507), Perak (36,893), Johor (36,145) dan Kedah (25,077).
Laporan itu juga menyerlahkan bahawa jumlah keseluruhan daripada 43,860 hartanah kediaman baharu telah dilancarkan pada tahun lepas yang merangkumi 31,678 (43.3 peratus) hartanah bertanah dan 13,182 (25.9 peratus) bertingkat tinggi.
Namun, hanya 39.3 peratus daripadanya berjaya dijual, menghasilkan hartanah yang tidak terjual sebanyak 36,863, tertinggi sejak lima tahun lepas.
Laporan itu juga menjelaskan senario ini amat membimbangkan pemaju kerana ianya boleh menjejaskan aliran tunai mereka.
“Pembeli perlu diberi amaran agar tidak terlalu terkejut dengan kenaikan hartanah tidak terjual kerana ini bukan menggambarkan realiti bagaimana pasaran hartanah bergerak.
“Sesetengah hartanah gagal dibangunkan dengan bijak sehingga menyebabkan ketiadaan permintaan tetapi ini tidak ada hubungannya dengan sama ada pasaran sedang berjalan dengan baik atau tidak,” kata Chan.
MIEA berpendapat hartanah tidak laku ini adalah disebabkan kekurangan penyelidikan yang mengakibatkan pemahaman yang lemah terhadap penawaran berbanding permintaan serta tidak sepadan dengan jenis harga hartanah yang mahu dibeli oleh pembeli di lokasi tertentu, antara lain.
Chan mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan menangguhkan dahulu pembangunan yang sedang berjalan di kawasan berkenaan bagi membolehkan pasaran menyerap unit atau untuk melihat ke dalam komposisi pembangunan sebelum kelulusan diberikan lagi.
“Kami merasakan sudah tiba masanya untuk kerajaan, melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, untuk campur tangan dengan mengamalkan garis panduan yang lebih ketat atau standard ke arah membina kelulusan di peringkat negeri bagi menyediakan pemeriksaan dan keseimbangan serta tidak membuang sumber yang mungkin akan mencecah bilion,” katanya.
Beliau juga menggesa pemaju yang bergelut dengan unit yang tidak terjual untuk bekerjasama dengan agensi hartanah untuk membantu memudahkan penjualan unit-unit ini terutamanya pemaju kecil yang sering menggunakan pasukan pemasaran mereka sendiri dalam melakukan penjualan.
“Melantik ejen harta tanah untuk membantu adalah pilihan yang logik kerana mereka terlatih dan mempunyai pengalaman yang relevan.
“Pastikan mereka dilantik dari kalangan yang dengan Lembaga Penilai, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta Malaysia (BOVAEP ),” Kata Chan.