Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan gelombang varian Omicron sudah menular di negara ini dan dijangka menyebabkan jumlah kes Covid-19 bakal meningkat mendadak.
Menteri Kesihatan itu bagaimanapun berkata penularan jangkitan varian tersebut masih terkawal memandangkan kadar vaksinasi di negara ini adalah tinggi.
Namun, Khairy meminta kerjasama masyarakat untuk bersama-sama menyertai usaha KKM mengatasi gelombang penularan terbabit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahannya seperti memakai pelitup muka dan menjalani ujian saringan.
“Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini. Mask (pelitup muka).
“#TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan cari). Booster (penggalak). #PICKids (vaksin kanak-kanak),” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Beliau membuat ciapan itu ketika membalas ciapan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Hisham Abdullah, mengenai jumlah terkini kes positif baharu Covid-19 setakat tengah hari tadi.
Pada hari ini, negara merekodkan 4,744 lagi kes positif baharu Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,844,969 kes.