Polis di New York meningkatkan rondaan bagi menghalang keganasan dalam sistem kereta api bawah tanah berterusan setelah seorang lagi mangsa ditolak di hadapan kereta api yang sedang bergerak, lebih seminggu setelah seorang wanita Asia maut dalam kejadian di Times Square.
Kejadian terbaharu Ahad lalu melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun yang ditolak ke arah landasan ketika kereta api tiba di sebuah stesen bawah tanah di Lower Manhattan.
Mangsa yang namanya belum didedahkan, terselamat daripada serangan ganas itu, tetapi mengalami luka di kaki dan dibawa ke hospital untuk rawatan. Suspek melarikan diri dari tempat kejadian, dan belum ada tangkapan dibuat.
Serangan pertama berlaku pada 15 Januari lalu. Polis berkata, Michelle Go yang berusia 40 tahun ditolak di hadapan kereta api bawah tanah di Times Square Manhattan, ketika dia berdiri di atas platform. Go meninggal dunia di tempat kejadian. Berita berkaitan
Penyerang yang didakwa, Martial Simon berusia 61 tahun, telah ditangkap dan didakwa terhadap pembunuhan tahap dua. Polis berkata Simon adalah gelandangan yang mempunyai sejarah keganasan dan masalah kesihatan mental.
Dengan warga New York kembali menaiki pengangkutan awam berikutan pandemik Covid-19, Datuk Bandar New York, Eric Adams berusaha menangani masalah itu secara langsung.
Bercakap kepada CNN, Adams mengumumkan rancangan untuk memperbanyakkan pasukan profesional kesihatan mental dan pegawai polis di stesen kereta api bawah tanah.
“Kita tidak sepatutnya menunggu seseorang untuk melakukan tindakan berbahaya, apabila kita tahu mereka berada di stesen ini,” katanya.
Datuk Bandar menekankan kepentingan mengenal pasti warga yang berpotensi berbahaya, yang memerlukan rawatan kesihatan mental, sambil menambah, “orang itu akan menerima penjagaan yang sewajarnya dan dikeluarkan daripada sistem kereta bawah tanah kami.”
Menurut Associated Press, Pengerusi Pihak Berkuasa Transit Metropolitan Janno Lieber mengutuk keganasan dalam sistem kereta api bawah tanah baru-baru ini, sambil mendesak ianya dihentikan. – Agensi