Wanita maut ditolak ke arah kereta api di Times Square

Seorang wanita Asia terbunuh selepas dia ditolak di hadapan kereta api bawah tanah di stesen Times Square di bandar New York, pada Sabtu, kata polis.

Ketika kejadian, wanita itu dikenali sebagai Michelle Alyssa Go, 40, sedang berdiri di platform sekitar jam 9.30 pagi menunggu kereta api tiba di stesen di 42nd Street di Manhattan, kata polis.

Ketika kereta api menuju Brooklyn masuk ke stesen, dia ditolak ke landasan. Wanita itu maut di tempat kejadian.

Polis bagaimanapun tidak pasti motif tindakan itu disebabkan wanita berkenaan berketurunan Asia.

Susulan kejadian itu, polis menangkap seorang lelaki kulit hitam, Simon Martial, 61.

Pembunuhan itu berlaku tatkala isu keselamatan kereta api bawah tanah hangat dibincangkan sejak pandemik Covid-19 bermula awal 2020 lalu.

Pesuruhjaya Polis New York Keechant Sewell menyifatkan insiden ini sebagai “tindakan keganasan yang tidak masuk akal.”

“Insiden ini tidak diprovokasi, dan mangsa nampaknya tidak mempunyai sebarang interaksi dengan subjek,” katanya pada sidang media selepas kejadian.

Martial dilaporkan mempunyai tiga rekod polis berkaitan gangguan emosi sebelum ini. Pegawai polis memberitahu terdapat waran untuk menangkapnya kerana didakwa melanggar parol berkaitan rompakan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR