Pakatan tentera negara-negara Arab diketuai Arab Saudi lancarkan serangan udara ke atas ibu kota Yaman, sejurus selepas pemberontak Houthi yang disokong Iran mengaku bertanggungjawab ke atas serangan dron di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Sebagai tindak balas kepada ancaman dan keperluan ketenteraan, serangan udara bermula di Sana’a,” kata Al-Ekhbariya yang dikendalikan kerajaan Arab Saudi di Twitter.
“Serangan ganas ke atas UAE adalah tindakan permusuhan. Tindakan Houthi menyasarkan orang awam di Arab Saudi dan UAE adalah jenayah perang yang pelakunya mesti bertanggungjawab,” kata Al-Ekhbariya dalam tweet.
Serangan dron berhampiran lapangan terbang Abu Dhabi menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang awam terbunuh, sementara beberapa lagi cederan dalam serangan di sekitar ibu negara.
Seorang warga Pakistan dan dua rakyat India terbunuh, kata agensi berita rasmi UAE, WAM. Lapan yang lain cedera, termasuk dua pekerja lapangan terbang dan enam orang di lokasi letupan lain, kata polis Abu Dhabi dalam satu kenyataan di Facebook.
Jurucakap pemberontak Houthi Yaman yang disokong Iran mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, memberi amaran “UAE adalah negara yang tidak selamat selagi peningkatan agresifnya terhadap Yaman berterusan.”
“Lima peluru berpandu balistik dan sejumlah besar dron digunakan dalam operasi yang digelar sebagai ‘Operasi Taufan Yaman’ menyasarkan lapangan terbang Dubai dan Abu Dhabi, kilang penapisan minyak Musaffah di Abu Dhabi dan beberapa tapak dan kemudahan UAE yang penting dan sensitif,” jurucakap Houthi Brigedier Jeneral Yahya Saree memberitahu di saluran TV Al-Masirah.
Beberapa minit setelah militan Houthi mengaku bertanggungjawab, pakatan tentera Arab Saudi memulakan serangan.
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 11 cedera, menurut Al-Masirah, sebuah media yang dikendalikan oleh pemberontak Houthi yang mengawal ibu kota Yaman.
Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan yang musnah, lapor Al-Masirah.
Media kendalian Houthi juga melaporkan bahawa lebih daripada 24 serangan udara dilancarkan oleh pakatan Arab Saudi dalam tempoh 24 jam yang lalu di pelbagai kawasan di Yaman, menyebabkan kerosakan besar. – Agensi