Menentang Covid-19 lebih teruk daripada berperang, kata Muhyiddin

January 16, 2022 · Isu semasa

Bekas Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tempoh mengemudi negara bagi menentang peningkatan penularan kes Covid-19 sebagai ‘lebih teruk daripada peperangan’.

Menurutnya, langkah pentadbirannya memohon proklamasi darurat daripada Yang di-Pertuan Agong adalah antara faktor penting yang membantu kerajaan ketika itu mengurus dan mengawal pandemik itu.

Sepanjang pandemik itu, beliau bersama anggota pentadbiran lain terpaksa melaksanakan langkah segera yang tuntas bagi mengimbangi matlamat melindungi nyawa dengan ekonomi, dalam keadaan amat tidak menentu, lapor Berita Harian yang memetik media UAE, The National, yang diterbitkan semalam.

“Pengisytiharan darurat dan diberikan lebih banyak kuasa adalah penting untuk menguruskan pandemik. Undang-undang khas ini sudah tersedia sejak dahulu, namun ia amat jarang diperlukan. Ini adalah kali pertama ia digunakan untuk tujuan ini.

“Ada pihak mengatakan undang-undang darurat ini seolah-olah kita berada dalam peperangan, namun saya nak tegaskan ini sebenarnya lebih teruk daripada perang,” katanya ketika ditemu bual wartawan Nick Webster.

Muhyiddin menjadi PM Malaysia kelapan pada 29 Februari 2020 susulan pergolakan politik negara ketika itu, kira-kira sebulan selepas Malaysia mengesan kes pertama positif Covid-19 pada 25 Januari.

Pentadbiran Muhyiddin dilihat berjaya mengawal penularan wabak itu pada peringkat awal, namun serangan gelombang kedua Covid-19 menyaksikan jumlah kes harian melonjak melebihi 21,000 kes sehari.

Ia disusuli dengan langkah beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos tahun lalu.

Menyingkap beberapa langkah yang diambil ketika mengetuai kerajaan, Muhyiddin berkata, setiap negara memiliki cara tersendiri menguruskan pandemik itu berdasarkan pengalaman.

Memetik laporan itu Muhyiddin menegaskan di Malaysia, ia bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

“Untuk Malaysia, saya mengambil langkah yang pertama kali dilaksanakan dengan melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara. Ketika itu, jumlah kes hanya sekitar 300 tetapi kami tidak pasti apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya.

Beliau mengakui langkah itu sebagai drastik namun ia terpaksa dilaksanakan dan rakyat Malaysia bertindak balas dengan baik terhadap pelaksanaan PKP kerana bimbangkan kesihatan masing-masing, selain kadar kematian yang semakin meningkat.

“Saya tidak katakan semua keputusan yang saya buat adalah tepat, malah perintah berkurung ini menyebabkan Malaysia kerugian RM2.6 bilion sehari.

“Gabenor Bank Negara maklumkan jika perintah berkurung ini diteruskan, seluruh sistem perbankan Malaysia berisiko lumpuh. Ini adalah antara beberapa keputusan yang terpaksa kita laksanakan,” katanya.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu bagaimanapun yakin Malaysia kini memiliki masa hadapan yang cerah dan mampu melonjakkan kembali ekonomi ke tahap yang lebih kukuh berbanding sebelum pandemik.

Jelasnya, proses pemulihan daripada pandemik amat penting untuk Malaysia dan seluruh rantau Asia, di samping memberi fokus pada sistem kesihatan awan susulan penularan varian Omicron.

“Persoalan ketika ini ialah apakah kita akan kembali ke arah situasi ketika 2019 atau menggunakan situasi semasa untuk melonjakkan Asia lebih tinggi dalam ranking negara maju?

“Bolehkah kita gunakan peluang ini bukan sahaja untuk pemulihan, tetapi untuk benar-benar menghidupkan semula negara di Asia dan mengangkat status kita, melihat pada ekonomi digital baharu dan bagaimana bank kita berfungsi.

“Ia kedengaran seperti cita-cita yang tinggi, namun ini mungkin satu rahmat untuk kita,” katanya.

Berita berkaitan
Ideologi yang berbeza,hala tuju yang tidak jelas Kerajaan Perpaduan
January 1, 2024· Rencana
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Popular
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024
110,000 pesakit berisiko kumpulan pertama dirawat guna Paxlovid
March 5, 2022
Kos umrah meningkat, apa puncanya?
February 15, 2023
Punca penderaan di taska meningkat
April 24, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
15 jam lalu · Isu semasa
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok