Sembilan belas, termasuk sembilan kanak-kanak, mati lemas dalam kepulan asap yang memenuhi setiap ruang dalam kebakaran sebuah apartment 19 tingkat di wilayah Bronx di kota New York pada Ahad.
Datuk Bandar New York City Eric Adams, mengesahkan 19 penghuni apartment maut akibat asap tebal dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 11 pagi di bangunan Twin Parks North West.
Pegawai bomba berkata seramai 32 lagi penghuni kediaman itu dimasukkan ke hospital dengan kecederaan serius dan kira-kira 60 yang lain cedera ringan.
“Ini adalah detik yang ngeri, ngeri dan menakutkan bagi New York,” kata Adams kepada pemberita.
Punca kejadian belum dapat dipastikan tetapi ia disyaki bermula dari pemanas haba elektrik mudah alih.
Asap terlalu tebal dan merebak ke setiap tingkat bangunan, mungkin kerana pintu ke apartmen dibiarkan terbuka, menyebabkan mangsa lemas, kata Pesuruhjaya Jabatan Bomba New York, Daniel Nigro.
“Anggota bomba menemui mangsa di tangga setiap tingkat dan membawa mereka keluar dalam keadaan jantung dan pernafasan terhenti,”
Nigro berkata, api cepat membakar sebahagian besar struktur itu, dengan asap sangat tebal yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Gambar dan video yang disiarkan di media sosial menunjukkan api dan asap hitam tebal berkepul-kepul keluar dari tingkap tingkat tiga bangunan bata itu ketika anggota bomba sedang menjalankan operasi memadam kebakaran.
Kebakaran berlaku hanya empat hari selepas insiden sama di Philadelphia, yang mengorbankan 12 orang, termasuk lapan kanak-kanak, di sebuah bangunan perumahan awam tiga tingkat.
Kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai standard keselamatan di bangunan perumahan bagi penduduk berpendapatan rendah.
Anggota Demokrat Amerika Syarikat, Ritchie Torres, yang daerahnya termasuk bangunan itu, memberitahu MSNBC bahawa pembangunan perumahan mampu milik seperti Bronx One menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk.
Adams berkata ramai daripada penghuni apartment itu berasal dari negara kecil Afrika barat, Gambia. – Agensi